Kangar: Kerajaan Perlis mengumumkan bahawa negeri itu tidak akan meneruskan pelaksanaan sistem parkir berpalang sebaliknya ia akan digantikan dengan mekanisme sistem pembayaran yang lebih pintar dan mudah.
Langkah itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira beberapa pandangan termasuk pihak Majlis Perbandaran Kangar (MP Kangar) dalam memastikan keselesaan dan kemudahan rakyat negeri itu yang meletakkan kenderaan mereka serta melakukan pembayaran selepas itu dapat dipermudahkan.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata, rancangan pelaksanaan sistem parkir berpalang di negeri itu sebelum ini menimbulkan pelbagai polemik terutama dari sudut kaedah pembayarannya yang dilihat tidak begitu mesra pengguna sehingga menyebabkan kesesakan berlaku.
"Ketetapan yang dibuat oleh kita (kerajaan negeri) adalah sistem parkir dengan caj tertentu akan tetap diteruskan di Perlis namun ia akan dilaksanakan tanpa berpalang serta akan diurus oleh MP Kangar serta syarikat pengendali parkir berkaitan.
"Langkah ini dilaksanakan kerana mengambil kira beberapa faktor atas kesejahteraan rakyat dan juga negeri, maka diambil beberapa pandangan, kita sudah merujuk kepada banyak pihak sebelum membuat pengisytiharan berkaitan sistem parkir.
"Kita (kerajaan negeri) memahami ketidakpuasan hati sebahagian rakyat terhadap pelaksanaan sistem parkir berpalang sebelum ini, maka satu pendekatan baharu ini mampu jadi 'jalan tengah' yang memberikan manfaat kepada semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini, malam tadi.
Turut hadir adalah barisan jemaah exco kerajaan negeri itu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail.
Menurutnya, dalam masa yang sama juga, pelaksanaan parkir pintar di negeri itu turut mengambil kira lokasi keutamaan serta keperluan setempat dan tidak akan dilaksanakan di kawasan perumahan.
"Bagaimanapun, kemudahan sedia ada seperti kamera litar tertutup (CCTV) masih boleh dimanfaatkan bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.
"Selain itu, 'engagement' dengan masyarakat akan dilakukan menerusi sesi pertemuan dialog atau 'townhall' untuk mendapatkan maklum balas mengenai parkir pintar yang akan dilaksanakan itu" katanya.
Sistem parkir yang mula beroperasi pada pertengahan Jun lalu ditangguhkan sehingga akhir tahun lalu bagi tujuan kajian semula.
Ini berikutan rungutan orang ramai berkaitan keselesaan dan kemudahan pembayaran yang turut menjadi polemik perbincangan serta forum oleh pelbagai pihak di negeri itu.