CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 25541|Reply: 0

[Sabah] SMJ 2.0 anjakan paradigma pembangunan Sabah

[Copy link]
Post time 31-1-2026 11:19 AM | Show all posts |Read mode
Cerminan komitmen kerajaan negeri membawa nafas baharu memperkukuh masa depan Sabah



ANJAKAN PARADIGMA: Hajiji (lima, kanan) bersama barisan kabinet negeri Sabah pada Majlis Amanat Tahun Baharu kepada Penjawat Awam dan Majlis Pelancaran SMJ 2.0 di Kota Kinabalu pada Jumaat. - Gambar Bernama.

PELANCARAN Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada Jumaat, menandakan satu lagi detik penting dalam perjalanan pembangunan negeri Sabah.

Ia hadir bagaikan fajar baharu, menyinsing harapan dan keyakinan rakyat terhadap masa depan negeri di bawah langit Borneo yang luas terbentang.

Pelancaran SMJ 2.0 mencerminkan kesinambungan kepimpinan yang berteraskan perancangan strategik dan hala tuju jangka panjang, sekali gus menjadi nafas baharu nadi pembangunan negeri dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun ke hadapan.

SMJ pada asasnya bukanlah satu idea yang lahir secara mendadak, sebaliknya merupakan ilham dan inisiatif Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun 2020, ketika Sabah berhadapan ketidaktentuan politik serta cabaran besar pandemik COVID-19.

Hajiji melakar sebuah pelan besar demi masa depan negeri yang kemudian dilancarkan pada 29 Mac 2021,  sebagai sebuah dokumen strategik yang bukan sahaja merakam cita-cita kerajaan, tetapi turut membawa aspirasi seluruh rakyat Sabah.

SMJ merupakan sebuah pelan pembangunan strategik dan inklusif, dirangka untuk memastikan tiada daerah, tiada komuniti dan tiada lapisan rakyat yang tercicir daripada arus kemajuan.

Ia menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh 2021 hingga 2025, dengan fokus yang jelas dan terarah merangkumi pertumbuhan ekonomi berpaksikan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan sebagai pemacu utama.

Di samping itu, SMJ memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, kerana kemajuan sebenar tidak diukur pada bangunan semata-mata, tetapi pada mutu kehidupan manusia yang menghuninya.

Tadbir urus yang baik serta penyampaian perkhidmatan awam yang cekap pula menjadi tunjang, agar setiap dasar tidak sekadar indah di kertas, tetapi benar-benar dirasai di akar umbi.

Pelancaran SMJ 2.0 merupakan kesinambungan logik kepada agenda lima tahun tersebut, sekali gus membuktikan bahawa pembangunan Sabah dirancang secara berperingkat dan berfasa, bukannya bersifat reaktif atau bermusim.

Hakikat ini menepis tanggapan sinis sesetengah pihak yang sebelum ini mempertikaikan keupayaan SMJ untuk diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar.

Di bawah kepimpinan Hajiji, kerajaan negeri telah membuktikan bahawa janji bukan sekadar retorik politik, sebaliknya dizahirkan melalui dasar, pelaksanaan dan hasil yang berterusan.

Hajiji membuktikan kata ditepati dan janji tidak dimungkiri, sekaligus menepis sindiran dan momokan pihak-pihak tertentu yang mempersendakan SMJ sebelum ini.

Hajiji adalah pemimpin yang tidak banyak bercakap, tapi membuktikan apa yang dijanjikannya itu dengan tindakan dan pelaksanaan.

Pendekatan kepimpinan yang fokus kepada pelaksanaan inilah menjadi antara kekuatan utama pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Inilah roh sebenar slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” — sebuah prinsip yang menekankan tanggungjawab bersama menjaga, membangun dan memajukan negeri Sabah demi generasi akan datang.

Seperti yang tertulis, SMJ 2.0 menyasarkan lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri bagi tempoh 2026 hingga 2030, sejajar dengan cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.

Justeru, yang paling penting pada saat ini ialah sokongan dan dukungan mutlak daripada segenap lapisan rakyat untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.

Asas dan platform telah tersedia. Yang tinggal hanyalah bagaimana rakyat Sabah berganding bahu, menyatukan tenaga dan tekad untuk merealisasikan impian bersama ini.

Jika benar kita mengimpikan negeri dan rakyat yang maju membangun, maka ayuhlah kita berdiri teguh bersama kerajaan dan kepimpinan hari ini, membawa Sabah menuju destinasi Sabah Maju Jaya.

Hentikanlah usaha mempolitikkan SMJ dengan menangguk di air keruh, jika benar niatnya ikhlas membantu kerajaan membangunkan negeri.

Nyanyian politik songsang wajar dihentikan, apatah lagi pilihan raya negeri baharu sahaja kita lalui dan perjalanan penggal lima tahun ini masih panjang.

Kepada yang sinis dan gemar memperlekeh usaha kerajaan, berhentilah berkokok di siang hari, kerana kita semua sedar betapa jauhnya Sabah telah tertinggal berbanding wilayah lain.

Inilah masanya untuk bersatu hati dan berpadu tenaga, berdiri sama tinggi dengan jiran kita Sarawak dan Semenanjung, sebagai wilayah yang sama-sama kita menyatu membentuk Persekutuan Malaysia.

Ketertinggalan Sabah selama ini bukan rahsia, antarnya berpunca daripada politiking sempit dan keterlaluan, egoisme dan nepotisme sehingga kepentingan diri mengatasi kepentingan negeri, selain daripada ketidakseimbangan dari segi layanan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang menidakkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disepakati oleh para leluhur kita dahulu.

Hakikatnya, SMJ 2.0 telah hadir sebagai titik muafakat baharu, membetulkan haluan dan menuntut hak dengan hikmah, sambil membina kekuatan dari dalam.

Inilah bukti kerajaan GRS pimpinan Hajiji benar-benar komited membawa perubahan dan anjakan paradigma untuk negeri Sabah.

Ayuhlah kita genggam tangan bersilang tangan, menyulam muafakat dan kepercayaan, melangkah seiring dalam satu tekad bersama menuju impian agung – Sabah Maju Jaya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2026 04:53 PM GMT+8 , Processed in 0.493147 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list