
JIMBAU
SIBU: Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sarawak Jimbau Galau, menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, yang menyuarakan keresahan rakyat Sarawak berhubung perpecahan politik, kaum dan agama yang berlarutan di Semenanjung Malaysia.
Menurut Jimbau, pandangan yang disampaikan oleh Nanta bukan lahir daripada emosi, sebaliknya merupakan luahan jujur yang mencerminkan aspirasi rakyat Sarawak yang sejak sekian lama mendambakan keharmonian, saling menghormati dan kematangan dalam kehidupan bernegara.
Beliau berkata, sebagai bekas anggota keselamatan yang pernah mempertahankan kedaulatan negara, warga veteran amat memahami bahawa perpaduan nasional merupakan asas utama kestabilan dan tidak wajar digugat oleh sentimen sempit.
“Apa yang disuarakan Nanta adalah realiti yang dirasai rakyat Sarawak.
"Ia lahir daripada keprihatinan terhadap masa depan negara dan keinginan melihat Malaysia kekal bersatu dalam suasana saling menghormati,” katanya ketika dihubungi.
Jimbau merujuk kepada kenyataan Nanta dalam program The Breakfast Grille di BFM 89.9, apabila beliau menggambarkan perbalahan berpanjangan di Semenanjung sebagai sesuatu yang memenatkan dan menyakitkan, serta menimbulkan persoalan tentang hala tuju hubungan antara wilayah dalam Persekutuan.
Menurutnya, ungkapan simbolik bahawa 'mungkin Laut China Selatan adalah satu perlindungan' perlu difahami sebagai peringatan agar keharmonian antara wilayah tidak terhakis akibat persaingan politik dan perbezaan pandangan.
“Rakyat Sarawak sejak dahulu memilih jalan kedamaian.
"Kami hidup dalam kepelbagaian kaum dan agama tanpa rasa curiga.
“Ini adalah kekuatan Sarawak yang perlu dihargai dan dipelihara,” katanya.
Beliau menegaskan, keharmonian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kepimpinan yang matang serta sikap saling menghormati yang dipupuk sejak pembentukan Malaysia.
Jimbau berkata sokongan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan negeri, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, membuktikan bahawa penilaian dibuat berdasarkan kejujuran, tanggungjawab dan keupayaan mentadbir, bukannya politik identiti.
Mengulas isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak sumber negeri, beliau berkata pendirian Nanta yang menekankan maruah serta hak Sarawak wajar dihormati dan ditangani secara berhemah melalui saluran yang membina.
“Sebagai veteran tentera, kami amat memahami nilai kesetiaan kepada negara.
"Namun kesetiaan itu mesti berjalan seiring dengan keadilan dan penghormatan terhadap hak setiap wilayah,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Sarawak kekal setia dalam Persekutuan Malaysia namun kesetiaan tersebut perlu berlandaskan saling menghormati, pengiktirafan sejarah serta semangat perkongsian yang adil.
“Seperti yang ditegaskan Nanta, mencintai Malaysia tidak bermakna mengorbankan maruah Sarawak.
“Apabila Sarawak dipersoalkan, rakyatnya akan berdiri mempertahankan hak dengan cara yang berprinsip,” katanya.
Jimbau berharap semua pihak di peringkat Persekutuan dapat mengambil iktibar daripada ‘Formula Sarawak’ yang menekankan keharmonian, kematangan politik dan kepimpinan berasaskan tanggungjawab demi menjamin masa depan negara yang lebih stabil dan bersatu.
Sumber : Utusan Borneo
|