CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30918|Reply: 0

[Sarawak] Sarawak antara destinasi hentian 'Port of Call' SSEAYP 2027

[Copy link]
Post time 31-1-2026 11:45 AM | Show all posts |Read mode


Karim semasa sidang media berkenaan program Port Of Call Malaysia 2027 di Bangunan Baitulmakmur II, di Kuching petang tadi. Turut kelihatan ialah Azura (kanan) dan Rentap.

KUCHING: Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila terpilih antara destinasi hentian 'Port of Call' bagi program Ship for Southeast Asian and Japanese Youth Programme (SSEAYP) pada Januari 2027.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kuching dijadual menjadi singgahan Kapal Nippon Maru pada 19 dan 20 Januari tahun depan.

"Ia selepas Port Of Call di Kemboja pada 14 hingga 16 Januari, sekali gus menjadikannya penyertaan pertama Sarawak dalam program pertukaran belia antarabangsa berprestij itu," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II di Kuching, hari ini.

Menurut Karim, pemilihan Kuching sebagai destinasi singgahan kapal itu merupakan satu penghormatan besar kepada negeri ini selepas 50 tahun ia diadakan dengan sebelum ini memilih beberapa tempat di Semenanjung Malaysia seperti Johor dan Kuantan selain Kota Kinabalu, Sabah.

"Untuk maklumat bersama, SSEAYP merupakan program pelayaran kapal persiaran Jepun yang menghimpunkan belia dari rantau Asia Pasifik untuk mengikuti pelbagai aktiviti di setiap destinasi singgahan.

“Secara kebetulan kita (Kuching) telah dipilih sebagai antara 'Port of Call' di Malaysia pada 20 Januari tahun hadapan.

"Setiap tahun, kapal ini akan singgah di tiga negara dan para peserta akan terlibat dalam aktiviti belia serta mengadakan kunjungan hormat kepada pemimpin tempatan,” katanya.

Beliau menambah, program itu dimulakan oleh Kerajaan Jepun dan tahun hadapan merupakan edisi ke-50 sejak ia diperkenalkan pada 1974.

“Ini adalah program untuk mengeratkan silaturahim belia negara-negara terlibat serta membuka minda pemimpin belia mengenai keadaan budaya, kehidupan sosial dan pembangunan ekonomi di negara-negara yang dilawati.

"Untuk tahun 2027, ia melibatkan Kemboja, Malaysia dengan Kuching menjadi destinasi singgahan serta Filipina,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Malaysia Azura Abidin menegaskan bahawa edisi ke-50 SSEAYP melibatkan penyertaan seramai 211 belia berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun dari 10 negara ASEAN termasuk Malaysia.

“Setiap negara menghantar kira-kira 17 peserta dan Kerajaan Jepun menaja kos utama program ini namun bagi setiap Port of Call, pihak penganjur dan kerajaan negeri selaku tuan rumah akan menanggung sebahagian kos logistik serta aktiviti,” katanya.

Beliau berkata, kapal persiaran Nippon Maru yang akan berlayar selama 34 hari itu turut membawa 200 peserta termasuk kru dari Jepun.

“Kami berharap sambutan di Sarawak nanti akan meriah dan berharap agar Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dapat menyambut ketibaan para peserta pada majlis alu-aluan rasmi,” katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas isu kes virus Nipah di India, Karim berkata langkah kawalan di pintu masuk perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

“Soalan ini wajar dirujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) iaitu Datuk Amar Douglas (Uggah Embas) namun tidak mengapa saya jawab selaku menteri hal ehwal pelancongan.

"Pada masa ini, kes berlaku di bahagian timur India dan negara-negara di Asia Selatan sedang mengambil langkah berjaga-jaga.

“Virus Nipah mempunyai kadar kematian lebih tinggi berbanding COVID-19 dan setakat ini tiada vaksin khusus, justeru saya berpendapat Kementerian Kesihatan dan SDMC perlu lebih berwaspada khususnya kita dalam Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan pandangan itu bersifat peribadi dan segala prosedur rasmi perlu ditentukan oleh kementerian dan agensi berkaitan.

Antara hadir pada sidang media itu ialah timbalan beliau Dato Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Tetap kementerian Morshidi Fredrick, wakil Presiden SSEAYP International Malaysia Datuk Mohamad Norden Ismail serta timbalannya Datuk Johari Janan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2026 04:52 PM GMT+8 , Processed in 0.088349 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list