
Abdul Karim (lima kiri) menerima cenderamata daripada wakil Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Malaysia di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II petang tadi. Turut kelihatan, Azura (empat kiri) dan Gerald Rentap (tiga kanan) serta yang lain.
KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak rasa kecewa yang dizahirkan pemimpin Sarawak kebelakangan ini mencerminkan sentimen rakyat terhadap polemik politik yang dicetuskan oleh Persekutuan.
Menurutnya, kenyataan Menteri Kerja Raya (KKR) Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang meluahkan rasa tidak puas hati wajar difahami dalam konteks lebih luas, khususnya berkaitan isu hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Negeri ketika ini.
“Saya setuju dengan perasaan yang diluahkan beliau (Nanta) kerana itulah yang dirasai oleh ramai rakyat Sarawak apabila melihat keadaan di Semenanjung Malaysia hari ini.
"Kita mahukan Malaysia yang aman dan progresif, tetapi setiap hari kita dengar pelbagai masalah,” katanya ketika menjawab pertanyaan media selepas selesai mesyuarat bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Malaysia di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II, petang tadi.
Abdul Karim berkata, berbanding di Sarawak dan Sabah yang stabil dari segi hubungan kaum dan agama, ketegangan politik lebih ketara berlaku di Semenanjung.
“Di Sarawak, kita tidak ada masalah besar antara Dayak, Melayu dan kaum-kaum lain. Kita hidup harmoni... tetapi apabila kita lihat keadaan di Semenanjung ia menimbulkan kebimbangan yang nyata,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara faktor utama yang mencetuskan kekecewaan pemimpin Sarawak ialah isu pengurusan minyak dan gas khususnya tindakan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan berhubung penentuan hak dan bidang kuasa.
“Isu ini sepatutnya boleh diselesaikan melalui meja rundingan antara Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) kerana tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak duduk berbincang,” katanya.
Menurut beliau, tindakan PETRONAS membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan secara mengejut menimbulkan persoalan sama ada langkah tersebut mendapat restu Perdana Menteri.
“PETRONAS hanya melapor kepada Perdana Menteri. Jadi sudah tentu tindakan itu mendapat restu beliau. Persoalannya, adakah ini bermakna persetujuan sebelum ini sudah tidak dipatuhi?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan seorang menteri yang memegang portfolio undang-undang yang menyatakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menyentuh soal minyak dan gas sedangkan perkara itu masih dalam pertimbangan mahkamah.
“Apabila seseorang (menteri undang-undang) membuat kenyataan sedemikian ketika kes masih berjalan, ia seolah-olah cuba mempengaruhi mahkamah. Ini yang membuatkan rakyat dan pemimpin Sarawak rasa tidak senang,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, dalam sistem persekutuan di mana-mana negara termasuk Australia dan Kanada, pertikaian antara kerajaan negeri dan persekutuan lazimnya diselesaikan melalui rundingan dan bukan semata-mata melalui keputusan mahkamah.
“Kalau keputusan mahkamah memihak kepada negeri, kita gembira... jika tidak, adakah rakyat Sarawak akan gembira? Jawapannya tidak.
"Apa pun keputusannya, ia tidak akan menyelesaikan rasa tidak puas hati dan rasa tidak selamat,” katanya.
Sementara itu, menyentuh soal pembangunan sukan, beliau mengesahkan Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kelab bola sepak Sepanyol iaitu Barcelona.
“Kami ke Barcelona tahun lalu dan melihat sendiri ekosistem pembangunan sukan mereka.
"Barcelona bukan sekadar kelab bola sepak tetapi satu model pembangunan yang lengkap,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu bukan hanya tertumpu kepada perlawanan persahabatan sebaliknya melibatkan latihan jurulatih, pembangunan bakat muda dan pertukaran pemain.
“Kalau ia berjaya dimaterialisasikan, kita berharap jurulatih dan pemain muda Sarawak dapat menjalani latihan di sana, dan pada masa sama pakar dari Barcelona datang membantu pembangunan bola sepak di Sarawak,” katanya.
Antara hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Malaysia Azura Abidin dan timbalan menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu.
Sumber : Utusan Borneo
|