
MINOS
KUCHING: Kenyataan berani dan jujur Dato Sri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini mencerminkan sentimen sebenar rakyat Sarawak terhadap situasi semasa di Semenanjung Malaysia.
Penganalisis politik Dato Peter Minos berkata apa yang disuarakan Menteri Persekutuan itu yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah berasas dengan realiti semasa.
"Keterbukaan dan kejujuran Nanta mencerminkan keresahan rakyat Sarawak yang semakin bimbang dengan pertelingkahan berpanjangan di Malaya melibatkan isu perkauman, agama, bahasa dan pelbagai polemik lain.
"Keadaan itu memberi gambaran seolah-olah banyak perkara tidak kena sedang berlaku di sana, sekali gus menimbulkan kebimbangan di Sarawak terhadap kesan sampingan yang terpaksa ditanggung oleh negeri ini.
“Akibat kekacauan sosial di Malaya, Sarawak turut menerima tempiasnya apabila wujud pihak tertentu yang menuduh Sarawak tamak, meminta terlalu banyak daripada Petronas, cuba memusnahkan syarikat minyak nasional itu, malah mendakwa Sarawak mahu berpisah daripada Malaysia,” katanya kepada Utusan Borneo.
Minos menegaskan, kenyataan-kenyataan sedemikian amat mengguris perasaan rakyat Sarawak kerana negeri ini sentiasa menunjukkan kesetiaan dan kecintaan kepada Malaysia melalui tindakan serta pendirian yang konsisten sejak pembentukan negara.
Beliau turut menyatakan bahawa pertikaian berhubung minyak dan gas berpunca daripada tindakan agensi Persekutuan, khususnya Petronas, yang disifatkan telah mencabar Sarawak apabila membawa perkara tersebut ke mahkamah selepas rundingan demi rundingan diadakan.
Tambahnya, kenyataan seorang Menteri Persekutuan di Parlimen yang memperkecilkan kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958), serta mendakwa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) memberi kuasa mutlak kepada Petronas, telah menimbulkan rasa tidak puas hati yang mendalam dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Rakyat Sarawak tidak akan berdiam diri dan akan mencabar tafsiran sedemikian kerana ia bercanggah dengan semangat dan hak yang termaktub dalam MA63,” katanya.
Sehubungan itu, Minos berpandangan bahawa pihak di Malaya seharusnya menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman mereka sebelum mempertikaikan pendirian Sarawak, selain memperbetulkan sikap dan pendekatan terhadap negeri ini.
“Sarawak kekal aman, bersatu, adil dan munasabah. Pihak di Malaya perlu lebih adil, rasional dan saksama dalam setiap kenyataan serta tindakan mereka terhadap Sarawak,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo
|