
SERBU: JIM Sabah menyerhu 278 pengunjung sebuah pusat hiburan sekitar bandar raya ini.
KOTA KINABALU: Seramai 278 pengunjung sebuah pusat hiburan sekitar bandar raya ini diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam Ops Gegar.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi bersepadu dikendalikan Unit Operasi Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu dengan kekuatan 40 pegawai pelbagai pangkat.
“Serbuan dijalankan hasil risikan dan pemantauan terhadap premis yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga tempatan serta warga asing.
“Pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh terhadap semua pengunjung dan pekerja bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen.
“Daripada jumlah 278 individu diperiksa, lapan pendatang tanpa izin (PTI) ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dokumen perjalanan,” katanya.
Katanya, semua yang ditahan membabitkan tiga lelaki dewasa dan lima wanita dewasa yang terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia.
“Semakan mendapati individu berkenaan gagal mengemukakan pasport atau permit sah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Ada antara mereka dipercayai tinggal melebihi tempoh dibenarkan, manakala selebihnya langsung tiada dokumen perjalanan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen sah,” katanya.
Katanya, semua tahanan dibawa ke depot imigresen untuk proses dokumentasi, siasatan lanjut serta tindakan susulan.
“Pegawai penguat kuasa turut memberi peringatan kepada pengusaha premis hiburan supaya memastikan pekerja asing memiliki dokumen lengkap dan sah.
“Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap majikan atau pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa kebenaran.
“JIM Sabah memaklumkan operasi seumpama itu digerakkan secara berkala berdasarkan maklumat risikan,” katanya.
Tambahnya, langkah berkenaan bertujuan membanteras kehadiran PTI selain mengelak aktiviti tidak sihat yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. “Pendekatan penguatkuasaan berfokus terus dipertingkat bagi memastikan bandar raya ini kekal selamat.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa dokumen di kawasan masing-masing.
“Jabatan menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen demi menjaga kedaulatan negara,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|