
Lee dan jawatankuasa penganjur menemui penderma darah yang terlibat dalam kempen di BSM hari ini.
MIRI: Tabung Darah Hospital Miri perlu menambah bekalan darah bagi menampung kekurangan penderma, khususnya ketika musim perayaan dan bulan puasa apabila jumlah individu yang tampil menderma lazimnya berkurangan.
Penasihat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Miri Dato Sri Lee Kim Shin meminta kerjasama dan sokongan dari masyarakat Miri supaya tampil menderma darah kempen yang dianjurkan bagi memastikan bekalan darah di Tabung Darah Hospital Miri berada pada tahap mencukupi.
"Pihak hospital memberitahu bekalan bank darah agak kurang. Mereka perlu membina bekalan kerana apabila tiba pada majlis perayaan seperti Tahun Baharu dan bulan puasa, akan lebih sedikit orang yang datang untuk menderma darah. Jadi mereka perlu menambahkan bekalan," jelas Lee
Selain itu, bekalan darah bagi kumpulan O dan B juga berada pada paras rendah, jelasnya kepada pemberita semasa menghadiri Kempen Derma Darah anjuran Hash House Harriers dan Kelab Lions Miri Centennial di Dewan BSMM di sini, hari ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, Tabung Darah Hospital Miri menetapkan sasaran pengumpulan sebanyak 12,000 pain darah bagi tahun ini.
Berdasarkan rekod tahun 2025, sebanyak 9,557 pain darah berjaya dikumpulkan, sedikit kurang daripada sasaran 10,000 pain yang ditetapkan.
“Dan tahun ini, Tabung Darah Hospital Miri telah menetapkan sasaran sebanyak 12,000 pain. Jadi bagi tahun 2026, kita berharap lebih banyak organisasi akan tampil menganjurkan kempen derma darah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sehingga 30 Januari lalu, Hospital Miri berjaya mengumpul lebih 700 pain darah.
Untuk kempen hari itu, pihak penganjur menyasarkan pengumpulan sebanyak 150 pain darah.
Lee memberitahu, satu lagi program derma darah turut dijadualkan esok.
Sumber : Utusan Borneo
|