|
SUNGAI BULOH: Pencemaran debu, gegaran kuat dan kerosakan harta benda yang dihadapi penduduk sekitar Zon 20 di sini, perlu diselesaikan segera oleh kerajaan Selangor kerana ia telah berlarutan sejak lebih dua dekad lalu tanpa penyelesaian tuntas. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Abdul Halim Tamuri, berkata sebuah pasukan petugas khas yang membabitkan semua agensi berkaitan perlu diwujudkan dengan segera bagi menangani masalah operasi kuari berkenaan secara menyeluruh. "Isu kesihatan dan keselamatan penduduk tidak boleh sama sekali dikompromikan. "Penduduk telah terlalu lama menanggung kesan pencemaran habuk, gegaran letupan serta risiko kemalangan akibat pergerakan lori berat di kawasan perumahan," katanya kepada BH, hari ini. Beliau diminta mengulas kebimbangan penduduk mengenai situasi berkenaan sehingga mendorong penduduk mengadakan demonstrasi aman, semalam, bagi menyerahkan petisyen bantahan kepada pihak pengurusan kuari. Abdul Halim turut menekankan pembinaan jalan khas atau laluan alternatif bagi lori kuari adalah satu keperluan mendesak bagi mengelakkan kenderaan berat daripada terus keluar masuk kawasan perumahan, sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan raya. Katanya, penguatkuasaan yang longgar terhadap had masa operasi dan muatan lori jelas menunjukkan kelemahan pemantauan yang perlu diperbetulkan segera oleh pihak berkuasa. Beliau menegaskan kerajaan negeri perlu memanggil semua pihak terbabit termasuk pengusaha kuari, pihak berkuasa tempatan, jabatan teknikal dan wakil penduduk untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian yang adil serta mampan. Katanya, pendekatan lepas tangan tidak boleh diteruskan lagi. Abdul Halim juga memberi jaminan suara penduduk akan terus dibawa ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan tindakan konkrit diambil dan bukannya sekadar janji. "Pembangunan tidak seharusnya berlaku dengan mengorbankan kesejahteraan rakyat. Saya akan terus mendesak agar langkah tegas diambil demi melindungi kesihatan, keselamatan dan kualiti hidup penduduk yang terkesan," katanya.
|