LOKASI kejadian wanita disyaki dibunuh kekasih di Taman Damai II, Batu Pahat. FOTO Arkib NSTP.
Batu Pahat: Suspek lelaki yang kritikal selepas mengelar leher dan pergelangan tangan sebaik disyaki membunuh teman wanitanya di sebuah rumah sewa Taman Damai II, di sini Selasa lalu, sudah sedar namun memerlukan pemantauan rapi.
Ketika ini, penganggur berusia 44 tahun itu masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) selepas dilaporkan kritikal akibat kecederaan dialaminya.
Ketua Polis Daerah Batru Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata keadaan suspek juga dilaporkan stabil.
"Polis belum merekod keterangan daripada suspek memandangkan tindak balasnya masih perlahan.
"Kita masih menunggu keadaannya pulih sekali gus membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya ketika dihubungi.
Polis menyerbu sebuah rumah pada jam 12.30 tengah malam Khamis lalu dan menemukan seorang wanita berusia 41 tahun dalam keadaan tidak sedar diri selepas disyaki dibunuh oleh suspek dengan mukanya ditekup dengan bantal.
Penemuan mayat mangsa itu susulan ahli keluarga mangsa membuat laporan mereka gagal menghubunginya sejak tiga hari lalu.
Sebaik memecah masuk rumah dengan bantuan anggota bomba berikutan pintu berkunci dari dalam, polis menemukan suspek dalam keadaan kritikal sedang baring atas katil bersebelahan mayat mangsa.
|