Rom: Michael Schumacher tidak sedar beliau adalah juara dunia tujuh kali, menurut bekas rakan sepasukannya di Formula Satu (F1), Riccardo Patrese.
The Daily Mail mendedahkan minggu ini bahawa Schumacher tidak lagi terlantar, lebih 12 tahun selepas mengalami kecederaan otak teruk akibat kemalangan ski yang mengerikan.
Sumber rapat dengan Schumacher, yang dijaga oleh isterinya selama 30 tahun, Corinna, bersama pasukan jururawat dan ahli terapi berkata, beliau kini boleh duduk di kerusi roda dan dibawa bersiar-siar di sekitar rumah mewahnya di Majorca serta kediamannya di Gland, tepi Tasik Geneva.
Patrese, yang pernah berlumba bersama Schumacher untuk Bennetton pada musim 1993 berkata, beliau mula mendengar berita positif mengenai keadaan Schumacher sekitar enam tahun lalu.
"Saya dengar daripada seorang rakan bahawa dia menunjukkan peningkatan.
Tapi saya tidak pernah berjumpa dengannya selepas kemalangan.
"Saya hanya dengar cerita bahawa dia boleh duduk, memerhati, melihat sekeliling dan berinteraksi.
Selepas berita kali pertama mengenai keadaannya itu, apa yang saya tahu mengenai kesihatannya adalah seperti yang digambarkan minggu ini.
"Dia berada dalam dunianya sendiri, tetapi mengenali orang di sekelilingnya.
Saya pasti dia tidak tahu dia juara dunia tujuh kali," kata Patrese kepada Hochgepokert.
Patrese menegaskan keluarga Schumacher berusaha keras untuk memastikan beliau dijaga dengan penuh kasih sayang.
"Walaupun dalam keadaan seperti sekarang, mereka tetap ingin ada dengannya, menjaga dan mencintainya.
Dia masih bersama kita dan kita hanya boleh berharap dia akan bertambah baik.
"Kami berharap setiap hari dia menunjukkan sedikit peningkatan.
Saya sangat gembira mendengar Michael menunjukkan kemajuan, tetapi setahu saya keadaan ini tidak berubah selama beberapa tahun," katanya.
Sejak kemalangan di Meribel, Perancis pada Disember 2013, Schumacher dijaga dengan penuh privasi dan dijauhkan dari pandangan umum.