GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa yang membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, agensi itu kini menjalankan siasatan terperinci terhadap kes berkenaan.
"Ya, kami akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan.
"Saya tidak boleh mengulas lanjut pada peringkat ini kerana SPRM masih menjalankan siasatan secara menyeluruh," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena sambutan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga, di sini hari ini.
Terdahulu, Karunanithy mengadakan lawatan ke beberapa 'thaneer panthal' (gerai minuman) di kawasan berkenaan, yang mana sebanyak 182 gerai berhias di sepanjang laluan sejauh dua kilometer menuju ke kuil di Jalan Air Terjun.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang
menyiasat kemungkinan berlakunya salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Siasatan itu dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang membangkitkan isu berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun lalu.
Siasatan bertujuan mengesahkan perkara itu serta menentukan sama ada wujud unsur salah laku atau isu berkaitan tadbir urus seperti dakwaan.
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP sebelum ini berkata ia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan SPRM itu.
Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas terhadap dakwaan itu.