
Suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Sri Aman.
LUBOK ANTU: Seorang guru lelaki berusia 35 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sri Aman atas 30 pertuduhan membabitkan dua kes berasingan dan dua mangsa berlainan, berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pada Jumaat.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi kes pertama melibatkan mangsa pertama, tertuduh didakwa dengan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, satu pertuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, dua pertuduhan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, 12 pertuduhan di bawah Seksyen 5 serta tiga pertuduhan di bawah Seksyen 10 di bawah akta yang sama.
Menurut kenyataan itu, bagi kes kedua yang melibatkan mangsa kedua pula, tertuduh berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, empat pertuduhan di bawah Seksyen 5 akta sama serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 10 juga dibawah akta yang sama.
“Kesemua pertuduhan telah dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sri Aman dan tertuduh didapati tidak mengaku bersalah terhadap semua 30 pertuduhan yang dikenakan,” menurut kenyataan JSJ Sarawak.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farhan Mohd Fauzi, manakala mahkamah menetapkan 5 Mac 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
JSJ Sarawak turut memaklumkan tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin tempatan, namun gagal menjelaskan jaminan tersebut dan diarahkan ditahan di Penjara Sri Aman sehingga tarikh sebutan lanjut kes.
“Kejayaan membawa kes ini ke mahkamah adalah hasil siasatan terperinci pihak polis serta kerjasama ibu bapa mangsa yang mahukan tindakan tegas diambil terhadap pelaku,” menurut kenyataan itu lagi.
Tambahnya, pihak polis komited untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk jenayah seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Sumber : Utusan Borneo
|