
Hanifah bercakap kepada pemberita ketika ditemui, malam tadi di Tebingan Kuching, disini.
KUCHING: Isu pelaksanaan autonomi kesihatan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih berada di peringkat perbincangan awal dan menunggu keputusan Mesyuarat Tertinggi melibatkan Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, perkara tersebut masih memerlukan perbincangan secara menyeluruh di peringkat Jawatankuasa Tertinggi MA63 bagi meneliti dasar, struktur pelaksanaan serta bentuk penggabungan pentadbiran antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Buat masa ini kita masih menunggu bila Mesyuarat Tertinggi MA63 akan diadakan supaya jawatankuasa tertinggi dapat berbincang mengenai dasar-dasar dan isu-isu tertentu berkaitan autonomi kesihatan.
"Ia melibatkan penyelarasan antara Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Kuching yang berlangsung di Tebingan Sungai Sarawak, di sini.
Menurut beliau lagi, terdapat juga cadangan berkaitan MA63 yang dibangkitkan oleh Datuk Amar Dr. Sim, namun butiran lanjut mengenainya masih belum dimuktamadkan dan perlu dibentangkan secara rasmi sebelum sebarang maklum balas dapat diberitahu kepada umum.
“Insya-Allah, perkara ini perlu dibentangkan terlebih dahulu. Jika ada perkembangan, maklumat rasmi akan dimaklumkan sama ada oleh saya atau Menteri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hanifah turut menyentuh tentang kepentingan program Kesedaran Kanser Sedunia yang bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, tetapi juga memberi sokongan moral kepada pesakit kanser serta mereka yang telah melalui fasa rawatan.
Beliau menegaskan bahawa kanser bukan sekadar penyakit fizikal, sebaliknya memberi kesan besar dari segi emosi, mental dan sosial kepada pesakit, termasuk kesan rawatan seperti keguguran rambut, loya, muntah, hilang selera makan dan keletihan melampau.
“Kanser bukan penyakit berjangkit dan ia tidak memilih jantina, umur, kaum atau agama. Setiap tahun jumlah penghidap kanser semakin meningkat termasuk dalam kalangan kanak-kanak.
"Ada yang boleh disembuhkan dan ada yang tidak, tetapi semua pesakit berhak mendapat sokongan moral, kasih sayang keluarga serta sokongan masyarakat,” ujarnya menegaskan.
Beliau turut menyeru agar masyarakat tidak meminggirkan pesakit kanser, sebaliknya membantu menyuntik semangat dan keyakinan diri agar mereka tidak berputus asa untuk malawan penyakit tersebut.
Mengulas pelantikannya dalam kementerian baharu, Hanifah berkata perubahan portfolio adalah satu lumrah dalam politik dan beliau menyambut baik tanggungjawab baharunya itu dengan hati terbuka serta komited untuk mempelajari bidang kesihatan secara lebih mendalam.
“Saya perlukan masa untuk memahami sepenuhnya tentang dunia perubatan, namun dari segi pentadbiran dan penyelesaian isu melibatkan pengamal perubatan, saya akan cuba sedaya upaya untuk mencari penyelesaian terbaik," tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo
|