
Pasukan HAZMAT menjalankan pemantauan di Tapak Kaul Oya, Kampung Kuala Hilir, Oya. - Gambar JBPM Sarawak
MUKAH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesan kehadiran gas mudah terbakar jenis metana di Tapak Kaul Oya, Kampung Kuala Hilir, Oya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak memberitahu, bacaan yang diambil pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) menggunakan peralatan 4 Gas Meter (GFG) menunjukkan bacaan LEL antara 90 peratus hingga 100 peratus yang menandakan tahap risiko tinggi.
Menurutnya, bacaan gas metana telah diambil di sekitar kawasan dalam jarak 10 meter menunjukkan bacaan LEL sifar peratus.

Pasukan HAZMAT menjalankan pemantauan di Tapak Kaul Oya, Kampung Kuala Hilir, Oya. - Gambar JBPM Sarawak
“Didapati bacaan LEL berada pada paras normal apabila lubang gerudi ditutup. Namun bacaan LEL meningkat apabila lubang gerudi dibuka,” ujarnya.
Sehubungan itu, Pasukan HAZMAT mengesyorkan agar kawasan berkenaan ditutup kepada orang awam.
“Mana-mana lokasi yang mempunyai lubang gerudi atau tebukan hendaklah ditutup atau dikambus sepenuhnya sekiranya kawasan tersebut ingin dibuka kepada orang awam.

Fatimah turut berada di lokasi pemantauan Tapak Kaul Oya, Kampung Kuala Hilir, Oya. - Gambar JBPM Sarawak
“Pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan di kawasan tersebut selagi lubang gerudi belum dikambus sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan,” jelasnya.
Turut berada di lokasi ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ketua JBPM Zon Sibu Andy Alie.
Sumber : Utusan Borneo
|