CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4049|Reply: 0

[Sarawak] Abdullah kecam portal berita langgar etika kewartawanan

[Copy link]
Post time 3-2-2026 09:37 AM | Show all posts |Read mode


Abdullah menjawab pertanyaan media selepas majlis bersarapan di sebuah restoran di Tebingan Kuching hari ini.

KUCHING: Sebuah portal berita milik stesen penyiaran swasta tempatan dikecam kerana mengamalkan pelaporan tidak tepat, semberomo, tidak beretika dan gagal mematuhi norma kewartawanan dalam laporan berita mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, sejak sekian lama portal berkenaan sering menyiarkan laporan berunsur provokatif tanpa menyatakan sumber yang jelas serta bersandarkan kepada rujukan umum seperti 'pakar politik' dan 'pemerhati’.

“Ingin saya tegaskan dan mengambil contoh bahawa ia adalah contoh sebuah portal berita di media sosial yang tidak bertanggungjawab.

"Norma dan etika kewartawanan langsung tidak dipatuhi... dan itu adalah contoh kewartawanan yang tidak sempurna dan tidak harus kita lakukan,” katanya ketika mengulas kandungan portal berita itu yang semakin galak mengeluarkan berita berbentuk provokatif terhadap Sarawak sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, seorang wartawan yang beretika seharusnya menyatakan dengan jelas sumber maklumat dan analisis yang digunakan sejajar dengan prinsip yang sering ditekankan setiap kali sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

“Setiap kali HAWANA termasuk Menteri Komunikasi sendiri Datuk Fahmi (Fadzil) selalu bercakap tentang etika kewartawanan agar tidak memutar belit fakta, tidak mempromosikan nada provokasi dan tidak menimbulkan keresahan atau memecahbelahkan rakyat.

"Namun apa yang menyedihkan ialah mengapa ia masih dibenarkan bersiaran dan berterusan melakukan berita provokasi terhadap Sarawak walaupun laporan telah dibuat kepada agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut melahirkan kecurigaan bahawa portal berkenaan mungkin digunakan oleh pihak tertentu untuk menyerang kepentingan Sabah dan Sarawak khususnya berkaitan isu hubungan persekutuan dan negeri.

“Di sinilah timbul kecurigaan politik bahawa portal ini dipergunakan oleh orang tertentu untuk menyerang hak Sabah dan Sarawak...nada mereka yang melabel kita rakus dan sombong adalah refleksi mereka sendiri sedangkan sejak sekian lama polisi politik kita sentiasa bertoleransi dan mengutamakan rundingan,” katanya.

Abdullah turut menekankan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menasihatkan supaya isu provokatif sedemikian tidak dilayan secara berlebihan dan diselesaikan melalui salura ndiplomasi serta perbincangan.

“Premier (Abang Johari) sentiasa menasihatkan kita supaya jangan terlalu melayan provokasi. Kita lebih memilih diplomasi dan perbincangan daripada memprovokasi,” katanya.

Mengulas isu tindakan undang-undang melibatkan PETRONAS, beliau menegaskan perkara itu wajar diserahkan sepenuhnya kepada mahkamah.

“Apa-apa andaian dan spekulasi di luar mahkamah boleh diabaikan. Yang membawa perkara ini ke mahkamah ialah PETRONAS sendiri bukan kita. Jadi biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya.

Namun beliau mengakui wujud kecurigaan politik memandangkan kedudukan PETRONAS dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA74) yang meletakkan Perdana Menteri sebagai pihak berkuasa utama.

“Ada orang membuat andaian bahawa tindakan PETRONAS ini mungkin mendapat ‘restu’ Perdana Menteri. Di situlah kecurigaan politik dan keresahan politiknya,” katanya.

Beliau yang juga pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut menegaskan pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahawa gabungan itu akan bertanding di semua kerusi pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Pendirian peribadi saya sebagai ahli MajlisTertinggi PBB ialah GPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti lain. Kita akan bertanding di semua kerusi dan tidak akan memberi satu inci pun kepada parti lain kerana kita mampu mentadbir sendiri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pihak tertentu agar tidak mengeruhkan suasana dengan retorik politik yang melampau kerana boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Jangan terlalu rakus dalam retorik politik untuk mempopularkan diri kerana ia boleh menimbulkan keresahan masyarakat,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-2-2026 11:35 AM GMT+8 , Processed in 0.355446 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list