Ahli perniagaan Ranjeet Singh dituduh beri rasuah RM8 juta
Rahmat Khairulrijal - Februari 23, 2026 @ 1:10pm
Datuk Ranjeet Singh Sidhu
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Ranjeet Singh Sidhu, didakwa memberi rasuah RM8 juta kepada bekas presiden sebuah bank berhubung projek rangkaian gentian optik pesisir pantai, 14 tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 56 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad hari ini.
Ranjeet didakwa memberi suapan berjumlah RM8 juta kepada bekas presiden dan pengarah urusan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim.
Wang itu didakwa sebagai dorongan supaya Mohd Zafer membantu meluluskan permohonan pinjaman berjumlah RM400 juta oleh V Telecoms Berhad daripada BPMB bagi membiayai projek "To develop a coastal network which consist of fibre optic network around Peninsular Malaysia" (membangunkan rangkaian pesisir pantai yang merangkumi rangkaian gentian optik di sekitar Semenanjung Malaysia)
Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ranjeet turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menggunakan secara tidak jujur sebagai tulen satu dokumen palsu, iaitu dokumen "Joint Completion Guarantee" antara V Telecoms Berhad dan Huawei Technologies Co Ltd bertarikh 21 Jun 2012, sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman RM400 juta daripada BPMB bagi membiayai projek yang sama, di tempat dan masa yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, menawarkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali sebulan hingga kes selesai.
Peguam Datuk Gobinath Mohanna, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan lebih rendah dan memaklumkan mahkamah bahawa pasport anak guamnya kini berada dalam simpanan SPRM.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes.
|