|
Pencuri Porsche larikan 2 lagi kereta mewah
Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan melarikan sebuah Porsche Panamera dari pusat pameran di Jalan Bukit Bintang, Oktober lalu, melarikan dua lagi kereta mewah di Jalan Chan Sow Lin, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, suspek bersama dua rakan menyamar secara berasingan sebagai petugas PUSPAKOM masuk ke sebuah pusat pameran Volkswagen dan pusat servis Audi berhampiran.
Difahamkan, suspek, Mohd Azri Mohd Kassim, 32, dari Bachok, Kelantan sepatutnya hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur semalam untuk sebutan kes itu namun dimaklumkan sakit oleh peguam belanya menyebabkan prosiding ditangguh awal bulan depan.
Suspek dikatakan bebas dengan ikat jamin RM15,000 sementara menanti tarikh sebutan itu kini dipercayai sedang menyembunyikan diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, menyifatkan kealpaan pengawal keselamatan di dua premis terbabit menjadi punca kejadian itu berlaku selain ketiga-tiga suspek bijak menyamar.
Kedua-dua premis itu mempunyai pengawal keselamatan namun suspek bijak menyamar membolehkan mereka masuk ke premis terbabit dan melarikan Volkswagen Golf GTi baru dan Audi TT yang sedang diselenggara.
Namun, tidak sampai tiga hari, dua kereta mewah itu ditemui semula yang mana Volkswagen Golf ditemui di tempat letak kereta Tesco Kulai, Johor, manakala Audi TT di Taman Seri Austin, Johor Bahru, semalam (kelmarin), katanya pada sidang media di sini, semalam.
Katanya, jarak lokasi pertama dan kedua kira-kira 40 kilometer dan polis percaya dua kenderaan itu akan diseludup ke negara jiran kerana salah sebuah dipasang nombor pendaftaran palsu Singapura
Selain Azri, dua lagi suspek yang diburu dikenali Abdul Raof Abdul Aziz, 44, dan Damanhuri Mohamad, 36, masing-masing dari Taman Seri Andalas, Klang dan Kampung Pandamar, Pelabuhan Klang.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|