PERGADUHAN atau kekacauan yang berlaku di dalam pesawat udara sama seperti yang dilakukan oleh samseng atau pembuli jalan raya kecuali ia berlaku 30,000 kaki di atas awan.
Pelaku yang terlibat dalam air rage ini biasanya cenderung bertindak ganas sama ada dengan meninggikan suara atau mengugut melakukan kekerasan tanpa alasan munasabah.
Insiden sebegini dilaporkan semakin meningkat saban tahun. Mungkin disebabkan oleh peningkatan jumlah penumpang menggunakan pesawat udara dalam urusan seharian.
Pelbagai cerita dilaporkan. Dari seseorang yang enggan mengikut arahan keselamatan kepada mereka yang menengking, bergaduh atau cuba menyerang kakitangan kabin dan penumpang lain.
Dalam keadaan serius ia memaksa juruterbang membuat pendaratan kecemasan. Tetapi biasanya kakitangan bertugas akan berjaya mengawal keadaan tersebut dengan menggunakan beberapa jenis kaedah tertentu.
Pesawat lewat Banyak sebab boleh menukar seseorang menjadi samseng semasa berada di dalam pesawat.
Anda tidak pun perlu kelihatan seperti seorang kaki pukul atau bonzer untuk melakukannya.
Sebab paling popular ialah kegagalan seseorang mengatur jadual penerbangan. Syarikat penerbangan tambang murah biasanya menggalakkan penumpang menggunakan penerbangan awal pagi dengan memberi pelbagai tawaran potongan harga dan promosi istimewa.
Ini memaksa penumpang bangun lebih awal dan berkejar ke lapangan terbang untuk daftar masuk yang selalunya satu atau dua jam lebih awal.
Mereka kemudiannya terpaksa melalui pemeriksaan bagasi dan keselamatan yang ketat.
Tiba-tiba menerima pula pengumuman flight delay. Bayangkan bagaimanakah perasaan mereka agak-agaknya?
Di sini anda boleh melihat beberapa penumpang mula meninggikan suara memarahi kakitangan terminal.
Dalam pesawat Semasa di dalam pesawat, ruang tempat duduk kelas ekonomi yang terhad akan mengehadkan pergerakan kaki dan badan.
Ini belum lagi dengan penumpang hadapan yang menurunkan kerusi dan menyukarkan penggunaan dulang makanan.
Begitu juga dengan faktor dehidrasi, penurunan tekanan udara dan penggunaan tandas.
Jangan lupa tidak semua penumpang berada dalam mood makan angin. Ada yang mengejar tarikh akhir mesyuarat atau sedang berkeadaan murung kerana terpaksa menghadiri perbicaraan atau pengkebumian.
Ketagihan merokok juga boleh menyebabkan seseorang meradang semasa di dalam pesawat.
Tragedi rampasan 9/11 menyebabkan ramai orang takut menaiki pesawat udara. Ini menyebabkan ada penumpang mengambil minuman keras untuk menghilangkan perasaan tersebut.
Harga murah di kedai bebas cukai dan tempoh menunggu yang lama pasti akan meningkatkan lagi pengambilan minuman tersebut.
Minuman keras menyumbang kepada 25 peratus kejadian samseng pesawat udara. Perlu diingat dalam altitud tinggi, paras alkohol darah akan menjadi dua kali ganda lebih tinggi berbanding semasa berada di terminal. Ini akan menyebabkan seseorang lebih cepat mabuk. Begitu juga dengan penggunaan dadah.
|