|
Ketua Balai Polis Simpang Renggam, Sarjan Major Mohd Shokri Jaffar menunjukkan lokasi muncung bersama bulu binatang ditemui.
SIMPANG RENGGAM - Polis menolak andaian sebarang tindakan provokasi susulan penemuan muncung dan bulu binatang yang dipercayai babi hutan di hadapan rumah seorang guru sekolah menengah, di Taman Harmoni di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya percaya kejadian yang berlaku itu tidak melibatkan sebarang unsur perkauman.
“Kejadian yang berlaku ini bukanlah satu sabotaj yang boleh dikaitkan dengan isu perkauman atau agama. Muncung bersama bulu binatang tersebut dijumpai di hadapan rumah kerana rumah guru berkenaan tidak berpagar,” katanya pada sidang media di Balai Polis Simpang Renggam, di sini, semalam.
Insiden itu disedari pemilik rumah yang berusia 50 tahun ketika keluar kira-kira jam 8 pagi.
Beliau berkata, orang ramai khususnya penduduk di taman tersebut dinasihati agar tidak membuat sebarang andaian kerana siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan.
“Apa yang kami harapkan adalah penduduk di Simpang Renggam ini bertenang dan tidak melakukan provokasi yang boleh membangkitkan kemarahan pihak lain sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni.
“Pihak polis juga menyeru kepada mereka yang melihat kejadian ini agar dapat menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Polis Simpang Renggam agar perkara ini dapat diselesaikan segera tanpa sebarang perkara yang tidak baik.
“Saya juga akan menemui pemimpin dan ketua masyarakat di taman tersebut untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai kejadian ini agar dapat disampaikan kepada penduduk di kawasan berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya.
|
|