Menonton lakonannya memang SS tabik kerana dia seorang pelakon wanita yang ‘versatile’. Beri saja apa jenis watak pun dia boleh membawakannya dengan baik. Disebabkan sikap profesionalnya itu ramai penerbit suka mengambilnya berlakon dan sejak membuat kemunculan semula, SS lihat pelakon ini memang tidak menang tangan menerima pelbagai tawaran berlakon.
Apabila bertemunya di luar, SS juga tidak nafikan dia seorang yang ramah dan mudah mesra dengan semua orang. Disebabkan sikap mudah mesranya itu teman SS merasakan dia seorang yang mudah memberi kerjasama.
Hendak dijadikan cerita teman SS ingin membuat satu temu janji berkaitan satu projek yang harus dilaksanakan oleh teman SS ini. Teman SS pun menghubungi pelakon berkenaan.
Sembang punya sembang teman SS terkejut dan geram dengan sikapnya yang sombong dan tidak sama dengan sikapnya ketika bertemu di luar. Sangat tidak disangka dia bersikap begitu. Mendengar keluhan hati teman, SS juga seperti tidak percaya dia orangnya begitu.
Sudahlah cara dia menjawab telefon seperti acuh tidak acuh, ada ketika apabila sedang bercakap dia boleh berbual dengan orang lain sedangkan teman SS sedang bercakap dengannya.
Kata teman SS dia memang keliru dengan sikap pelakon itu. Kalau pun tidak mahu memberi kerjasama janganlah beri alasan yang tidak masuk akal. Sudahlah teman SS itu disuruhnya telefon hari lain, apabila dihubungi semula dia boleh bersikap tidak profesional seperti itu.
Memang teman SS serik untuk bekerjasama lagi dengan pelakon ini kerana selama ini dia sangat mengagumi pelakon terbabit. Ketika berjumpa juga, dia sangat selesa menemu bual pelakon itu, sudahnya ketika dihubungi menerusi telefon dia boleh buat perangai bermuka-muka.
|