|
Gergasi lawat kebun
Oleh Ahmad Ismail
Segamat: Penemuan kesan tapak kaki gergasi di sebuah kebun sayur di Kampung Gudang Garam, di sini, pagi semalam, menggemparkan penduduk berikutan bimbang diserang haiwan pemangsa seperti harimau.
Pekebun sayur Liew Tze Chong, 58, berkata dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, di menunggang motosikal ke kebun tanaman sayuran seperti kangkung, sawi dan bayam ditemani anak perempuannya, Liu, 13. “Sebaik tiba di kebun seluas hampir 1.2 hektar itu saya terkejut melihat puluhan kesan tapak kaki gergasi selebar 1.8 meter dan sepanjang 3.6 meter.
“Saya terkejut dengan kejadian itu dan terus menarik anak ke motosikal untuk pulang sebelum mendapati dompetnya terjatuh di sekitar kebunnya.
“Saya terpaksa memberanikan diri dan mencari dompet sebelum menemuinya di atas tanah serta memeriksa kesan tapak kaki gergasi itu dengan lebih teliti,” katanya.
Menurutnya, apa yang pelik kesan empat jari kaki di atas tanah lembut itu berkemungkinan babi hutan namun pada masa sama, menemui kesan lima jari berkemungkinan harimau atau beruang.
Katanya, ia penemuan kali pertama sejak berkebun di kawasan berkenaan 45 tahun lalu dan akan berbincang dengan ketua kampung bagi memastikan keselamatannya.
Sementara itu, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gudang Garam dikenali sebagai Othman, 55, berkata, dia dilahirkan di kampung itu dan tidak pernah mendengar ada penduduk bertembung haiwan buas.
Bagaimanapun, katanya, sebagai langkah keselamatan pihaknya memberitahu semua penduduk serta pekebun supaya berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Pada masa sama, kami akan berbincang sama ada perlu membuat laporan polis atau terus ke Jabatan Perlindungan Haiwan dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Buat masa ini, kami menasihatkan orang ramai supaya jangan pergi ke kebun berseorangan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16
http://www.hmetro.com.my/articles/Gergasilawatkebun/Article/
|
|