|
Tahniah. Lisdawati sedang hamil 4 bulan utk anak ke 3.
Artikel berkaitan.
Hamil 4 bulan, Lisdawati tetap menawan!
NAMA Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 35, sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Mula dikenali selepas membintangi filem KL Menjerit pada 2002, karier lakonan aktres yang berasal dari Kuala Lumpur ini terus meningkat naik.
Biarpun mendirikan rumah tangga dengan aktor berbakat besar, Fauzi Nawawi, 40 pada 2007, ia tidak sedikit pun menenggelamkan nama Lisdawati dari persada lakonan.
Lebih istimewa, biarpun sudah memiliki dua cahaya mata, Nur Aina Farhana, 5 dan Nur Aina Fazneesya, 4, Lisdawati atau mesra di sapa Lisda masih kelihatan ramping dan cantik persis seperti dia ketika masih anak dara.
Apatah lagi, dengan tugas sebagai ibu dan selebriti, tentunya Lisda mempunyai masa yang terhad untuk bersenam. Tentunya kelangsingan ini dicemburui ramai wanita di luar sana apatah lagi, ada di antara wanita yang masih belum berkahwin tetapi mempunyai berat badan yang berlebihan.
Oleh itu, Zass mendekati Lisda bagi mengetahui rahsia penjagaan tubuh selain penjagaan rambut selepas dia tampil bertudung. Istimewanya, Lisda membuat pengakuan bahawa kini dia sedang hamil empat bulan dan ikuti cara Lisda menjaga berat badan biarpun dalam tempoh kehamilan.
Sebagai seorang wanita berkerjaya, apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?
Cantik dan sihat adalah apabila kita sentiasa berfikiran positif dan memandang ke hadapan.
Dalam usia yang sudah mencecahkan 30-an dan beranak dua, anda masih mempunyai tubuh yang langsing persis anak dara, apa rahsianya?
Penjagaan berat badan sememangnya amat penting, oleh itu sekiranya berat badan naik, saya akan kawal pemakanan. Paling penting saya tidak ambil dan tidak percaya pada sebarang ubat kurus kerana apa sahaja ubat yang kita ambil sebenarnya pasti ada kesan.
Apatah lagi ubat diet perlu diambil secara berterusan dan jika kita berhenti, tidak mustahil berat kita akan kembali kepada berat asal. Jadi berdietlah secara semula jadi.
Bagaimana pula dengan rutin pemakanan anda?
Saya hadkan pengambilan ayam dan daging, contohnya saya hanya ambil seminggu sekali dan selalunya saya akan banyak ambil sayuran, ikan dan juga makanan laut.
Selain itu banyakkan juga minum air putih dan makan buah-buahan. Paling penting jangan makan pada waktu malam atau lewat malam. Kerana itulah yang akan membuatkan badan kita naik.
Anda kini sedang hamil, tidak alami sebarang alahan?
Saya alami alahan yang agak teruk kali ini, makan agak memilih dan makanan yang saya makan mesti masih panas. Saya juga agak 'moody' tetapi saya cuba kawal kerana masih bekerja dan sibuk dengan tugasan harian.
Jadi bagaimana anda menjaga stamina agar sentiasa cergas?
Saya banyakkan bersenam. Jika ada masa keluar berjoging, jika terhad, saya akan bermain skipping atau membuka lagu rancak dan menari sahaja di rumah, paling penting tutup kipas atau penghawa dingin dan pakai baju tebal. I
a akan mempercepatkan proses berpeluh. Jadi bila kita aktif dan sentiasa berpeluh, metabolisme dalam badan kita akan tinggi dan kita susah untuk gemuk.
Selain diet dan bersenam, adakah anda mengambil sebarang suplemen?
Ya, saya ada ambil suplemen iaitu Vitamin C dan E. Selain itu saya juga ada mengambil makanan campuran yang diproses dari buah-buahan.
Ada sesetengah selebriti memilih suntikan untuk kekal cantik, pernahkah anda terfikir untuk mengambil suntikan selepas usia semakin meningkat?
Kita kena faham ada dua jenis suntikan iaitu satu untuk mengubah wajah iaitu botox dan kedua untuk vitamin C iaitu menjaga keanjalan kulit dan melambatkan proses penuaan. Jika suntikan yang di pantau oleh doktor bertauliah, memang tiada masalah, cuma kos agak mahal.
Tapi sebelum ambil, seeloknya dapatkan nasihat daripada doktor mengenai kesan jangka panjang. Macam saya sekarang tengah mengandung, saya tidak terfikir pula untuk mengambil suntikan.
Tetapi sekiranya selepas ini, mungkin ketika usia meningkat dan betul-betul memerlukan, mungkin saya akan mempertimbangkan untuk ambil kerana sebagai selebriti, kecantikan memainkan peranan juga. Tapi bergantung pada keadaan.
Bagaimana pula dengan penjagaan rambut, memandangkan anda kini sudah bertudung?
Saya dapatkan rawatan di salon seminggu sekali dan paling penting saya tidak akan memakai tudung ketika rambut masih basah. Macam saya, saya suka basuh rambut sebelum tidur dan bila bangun rambut sudah kering dan tidak ada masalah untuk memakai tudung.
Apa perkembangan terkini anda?
Saya masih lagi terikat dengan penggambaran drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta untuk siaran Astro sehingga hujung Januari. Selepas itu saya mungkin akan berehat atau terima tawaran yang bersesuaian sahaja.
Walaupun hamil empat bulan kini, saya tidak ada masalah untuk berlakon dan 'menyorokkan' perut kerana bila bertudung, baju lebih longgar, jadi tak nampak sangat.
Last edited by tapibukanaku on 26-12-2013 11:17 AM
|
|