|
KUALA LUMPUR: Ketibaan tahun baharu pagi ini dikejutkan dengan insiden serangan ke atas beberapa laman web di negara ini oleh penggodam.
Sekurang-kurangnya dua laman web milik kerajaan dipercayai turut menjadi mangsa mereka.
Menurut gambar-gambar yang dimuatnaik orang ramai, halaman utama portal Kementerian Pendidikan telah digantikan dengan skrin hitam kosong dengan perkataan" hacked "(digodam) bersama paparan kumpulan "Team EvilSha0w " yang mendakwa mereka bertanggungjawab.
Sehingga pukul 2.30 petang tadi, laman web MOE itu masih tidak boleh diakses.
Tahun lepas, kumpulan yang menamakan diri mereka “Evil Shadow Team”, dipercayai dari China , dilaporkan telah berjaya menggodam laman web milik Microsoft India. Walau bagaimanapun, adalah tidak dapat dipastikan samada kumpulan yang sama bertanggungjawab dalam serangan terbaharu ini.
Selain itu, terdapat perbezaan antara penggodaman laman web MOE dengan beberapa laman web lain yang dipercayai turut diserang semalam.
Pengguna yang melayari laman web rasmi Program Malaysia Sebagai Rumah Kedua, disambut dengan paparan ‘pop –up’ yang tertera "Greetz Marhaen".
Laman itu juga memaparkan paparan yang menyuarakan bantahan kenaikan harga dan peningkatan kos sara hidup, termasuk mempromosi perhimpunan TURUN di Dataran Merdeka malam tadi.
Penggodaman yang hampir sama juga berlaku di hampir 30 laman web yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tempatan.
Senarai laman web ini, termasuk laman web Stamford College, dapat dilihat dalam beberapa laman blog tempatan yang mendakwa mereka telah dimaklumkan mengenai serangan itu.
Laman web yang digodam semua mempunyai kenyataan yang sama, dengan lagu anti-kerajaan 'Janji Dicapati' digunakan sebagai latar belakang.
Mesej di bahagian bawah paparan, antara lain, tertulis mesej-mesej yang berkaitan dengan propaganda, rasuah, isu perkauman dan agama.
Ketika dihubungi , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan bahawa mereka telah menerima laporan mengenainya dan sedang menyiasat serangan tersebut.
"Kami telah dimaklumkan tentang beberapa aktiviti menggodam kel atas pelbagai portal termasuk beberapa laman web kerajaan," Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi memberitahu Astro Awani .
Beliau berkata pada masa ini, pentadbir laman web terbabit sedang berusaha mengembalikan laman web masing-masing ke asalnya.
Tetapi pada masa yang sama, SKMM berkata pihaknya akan membantu dan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.
"Pada masa ini, kami sedang menyiasat kejadian itu. Nampaknya dalam serangan penggodaman ini ada cubaan mengubah laman-laman web terbabit. Kami sedang mengenalpasti samada sesuatu yang lebih memudaratkan telah berlaku, "kata Sharil .
Tambahnya, SKMM akan mengkaji sama ada sebarang kesalahan telah dilakukan dan wujudnya penyalahgunaan rangkaian internet atau apa-apa kesalahan yang boleh disiasat di bawah Akta Jenayah Komputer (1997).
"Kita perlu menilai sejauh manakah kesannya dan membuat keputusan seterusnya. Jangan membuat spekulasi atau tanggapan melulu buat masa ini.”
Read more at: http://www.astroawani.com/news/s ... in-digodam-27687?cp
|
|