|
Honda City 2014 antara lima model baharu yang bakal diperkenalkan oleh Honda untuk tahun ini
Honda Malaysia bakal melancarkan lima model baharu pada tahun ini. Itu kenyataan yang disahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, petang tadi semasa sempena Majlis Bersama Media.
Menurut Ueno, lima model yang bakal diperkenalkan itu termasuklah model FMC (full model change/model yang mengalami perubahan penuh) dan MMC (minor model change/model yang mengalami sedikit perubahan). Ini termasuklah dua daripadanya merupakan kenderaan hibrid pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang milik Honda yang terletak di Melaka.
“Bagi tahun ini, kami mensasarkan untuk menjual sebanyak 76,000 unit termasuk dengan 9,000 unit bagi kenderaan hibrid. Sasaran ini disifatkan sebagai suatu yang optimis memandangkan pada tahun lalu jumlah jualan bagi kenderaan Honda di Malaysia sangat memberangsangkan iaitu sebanyak 51,550 unit. Malah kami mahu terus memasarkan kenderaan yang mampu milik, bersifat mesra alam dan nilai terbaik untuk wang,”ujar Ueno.
Sambungnya lagi, “Dengan tiga teras utama yang diperjuangkan iaitu memperkenalkan model baharu dengan harga yang kompetitif, keupayaan kilang pemasangan No.2 Line yang baharu dilancarkan pada pertengahan Januari lalu mampu memasang kenderaan bersaiz kecil dan hibrid serta pertambahan jumlah pengedar di seluruh negara (daripada 73 pengedar pada tahun lalu menjadi 80 pengedar untuk tahun ini), kami yakin mampu mencapai sasaran jualan tersebut pada tahun ini.”
Dalam majlis yang sama, Honda Malaysia turut mengambil kesempatan untuk mendedahkan model baharu Honda City 2014 kepada pihak media. Model sedan generasi keempat ini bakal dilancarkan pada pertengahan Mac ini dan tempahannya telah pun dibuka sekarang.
Ditawarkan dengan empat varian iaitu S, S+, E dan spesifikasi tertinggi V, City serba baharu ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC empat silinder 16-injap. Ia mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 120 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,600 rpm.
Ia turut dipadankan dengan kotak gear CVT bagi menggantikan transmisi automatik lima kelajuan seperti mana yang digunakan pada model terdahulu.
Antara elemen baharu yang diterapkan pada model ini ialah mod ECON, butang penghidup enjin, kawalan pemanduan, penyaman udara belakang, jeriji hadapan platinum, rim aloi bersaiz 16 inci, enam beg udara (termasuk beg udara sisi) dan Bantuan Kestabilan Kenderaan atau VSA .
Selain daripada itu, turut disertakan ialah ISOFIX, sistem kunci pintar, butang kawalan audio pada roda stereng, meter kluster bercahaya, shark fin antenna dan sistem audio dengan lapan pembesar suara berserta skrin paparan bersaiz tujuh inci.
Walau bagaimanapun, Honda Malaysia masih mengunci mulut mengenai harga bagi model ini dan ia akan diumumkan secara rasmi pada majlis pelancarannya kelak.
Bagi yang berminat untuk melihat secara lebih dekat Honda City serba baharu ini, Honda Malaysia bakal mengadakan promosi bergerak di tempat-tempat berikut.
-Paradigm Mall, Kelana Jaya (21-23 Februari 2014)
-The Curve, Mutiara Damansara (24-26 Februari 2014)
-East Coast Mall, Kuantan (27 Februari-2 Mac 204)
-KSL City, Johor Bahru (4-6 Mac 2014)
-Tesco Ipoh Garden, Ipoh (7-9 Mac 2014)
-Queensbay Mall, Penang (10-12 Mac 2014)
|
|