|
Ditulis oleh: Hazeman Huzir
Eksklusif Foto & Artikel: hlive!
www.hlive.com.my
KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2014: Pelakon Anita Baharom selamat melahirkan anaknya yang ketiga iaitu seorang bayi lelaki, semalam (22 Julai) melalui kaedah Caesarean.
Menariknya, ini merupakan kali ketiga dia menjalani kaedah itu dan dia juga akui takut untuk hadapi kelahiran secara normal.
Dikenali dengan watak Azura Iskandar di dalam drama komedi bersiri Keluarga Iskandar, Anita juga bimbang untuk melanggar pantang kerana pernah melalui pengalaman yang tidak diingini.
“Saya dan ibu saya mempunyai cara berpantang kami sendiri dengan sedikit penambahan. Contohnya kalau kelahiran biasa, tempoh berpantang hanya sekejap sahaja kemudian boleh bergerak aktif. Untuk saya, saya perlukan masa setahun baru boleh kembali bersenam.
“Semasa kelahiran pertama, saya tidak terlalu menjaga pantang. Saya sudah keluar rumah untuk berjalan di One Utama pada hari ke 18. Sedang berjalan-jalan saya merasakan peranakan saya berubah kedudukan. Sejak itu, saya mula berjaga-jaga,” kata pelakon kelahiran Sungai Petani ini.
Menurut suaminya, Mohamad Ismadi Ismail, semuanya berlaku dalam kadar yang pantas. Malahan, nama bayi itu sudahpun dipilih sebelum kelahirannya lagi.
“Dia masuk ke dalam bilik pembedahan dari jam 10.30 pagi, dan anak kami selamat dilahirkan pada jam 11.05 pagi. Nama yang dipilih adalah Mohamad Dhia Mikail yang membawa maksud Sinaran Pembawa Rezeki, dengan harapan anak ini membawa rezeki kepada kami,” kata Ismadi yang juga seorang Penerbit Eksekutif di Astro.
Sebelum bersalin, Anita sedang sibuk menjalani penggambaran Keluarga Iskandar yang kini kembali dengan musim kedua dan bakal bersiaran bulan September ini. Terdahulu, Anita dan Ismadi sudah dikurniakan seorang anak perempuan serta seorang anak lelaki iaitu Syifa Dhia Nurina, 7 dan Mohamad Dhia Iskandar, 3.
Credits: murai.com.my
|
|