|
SHAWN tertarik dengan Jaclyn kerana sifatnya yang tegas dan berdaya saing.
|
SUASANA di dalam ruang legar Istana Budaya, Kuala Lumpur pada petang Selasa lalu indah dihias lampu kelap-kelip serta juntaian candelier yang dipasang sepanjang tangga menuju ke tempat para tetamu berkumpul.
Kelihatan puluhan kerusi kayu berwarna krim turut tersusun kemas menghadap sebuah meja panjang yang bertabirkan fabrik lembut berona hitam dan putih.
Pihak media yang hadir pada majlis sidang akhbar itu berkongsi rasa dan tujuan yang sama, kesemuanya berdebar menantikan pengumuman penting yang bakal dilakukan oleh penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor.
Mengimbas kembali saat bermulanya teka-teki mengenai status penyanyi itu, Jaclyn dan ibunya telah singgah ke unit hiburan Kosmo! bagi mengedarkan kad jemputan ke sebuah majlis kira- kira sebulan yang lalu.
Walaupun telahan awal pihak media mengatakan Jaclyn bakal mengumumkan tarikh pernikahan pada majlis yang dirahsiakan pengisiannya itu, namun penyanyi berusia 36 tahun itu mempunyai agenda yang berbeza.
Mengenakan busana tradisi India berwarna biru gelap, Jaclyn akhirnya memperkenalkan Shawn Rivera, 40, iaitu ahli kumpulan R&B Az Yet sebagai suaminya kepada umum. Mereka telah berkahwin pada 19 Julai lalu. Teka-teki yang selama ini bermain di minda ramai akhirnya terjawab.
Cinta pandang pertama
"Semuanya bermula ketika Shawn dan anggota kumpulan Az Yet yang lain datang ke Kuala Lumpur bagi merakamkan lagu runut bunyi untuk filem Ribbit berjudul Magical Moment.
"Sewaktu saya melangkah masuk ke dalam studio, orang pertama yang saya pandang ialah Shawn. Apabila saya menyambut tangannya sebagai tanda perkenalan, dia terus menarik tangan saya lalu menciumnya. Saya sangat terkejut," tutur Jac membuka bicara.
Sambil tertawa, juara program realiti TV, Malaysian Idol musim pertama itu berkata, Shawn dilihat begitu bersunguh- sungguh untuk mengenalinya dan sering mengeluarkan kata-kata berbaur ke arah perkahwinan.
"Ketika merakamkan klip video bagi lagu Magical Moment, kami terpaksa berlakon di hadapan layar hijau (green screen) sambil mengenakan baju berwarna putih. Kebetulan, pada waktu itu saya juga turut memakai gaun berwarna sama.
"Dengan selamba, Shawn berkata adakah gaun ini yang akan saya pakai pada majlis perkahwinan nanti. Sejujurnya, saya terkejut dengan kenyataan tersebut," kata Jaclyn lagi.
Walaupun hanya bersua muka tidak sampai seminggu, bagi Shawn, Jaclyn adalah wanita terbaik pilihan hatinya.
"Saya jatuh cinta dengan Jaclyn ketika pertama kali memandangnya. Ia datang dengan sendiri dan cinta itu terus bersemadi dalam hati saya. Bagi saya, jika sesuatu perkara itu telah ditakdirkan serta ditentukan oleh Tuhan, maka ia akan berlaku. Sama juga dengan perkahwinan kami," ujar penyanyi kelahiran Puerto Rico itu.
|
|