|
NURUL dan Eriq bersama Zachary yang menurut Nurul kuat meragam sejak akhir-akhir ini.
|
SINAR bahagia semakin mengulit penyanyi Nurul Wahab Depp, 37, apabila dia disahkan hamil anak kedua bersama suaminya, Eriq Depp, 49, sekitar Jun lalu. Nurul yang kini hamil tiga bulan nyata bersyukur dengan rezeki yang diberikan meskipun anak sulungnya bersama Eriq, Zachary Depp baru berusia 10 bulan.
Selain Zachary, Nurul juga mempunyai seorang anak Ayu Nazirah, 15, hasil perkongsian hidupnya bersama komposer Ajai. Meskipun sudah hamil anak kedua, Nurul tetap mengikut pantang larang orang tua-tua dengan merahsiakan kehamilannya daripada pengetahuan umum sehingga kandungannya mencecah usia tiga bulan.
Dia juga merahsiakan berita gembira itu daripada pengetahuan keluarga mertuanya di Perancis sehingga hari ini. Kata Nurul, dia ingin memberi kejutan kepada mereka.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Nurul baru-baru ini.
Kosmo!: Kenapakah Nurul merahsiakan kehamilan kedua ini daripada pengetahuan umum?
NURUL: Walaupun anak kedua, saya mengikut pantang larang orang lama. Doktor juga berpesan, tunggu sampai tiga bulan baru umumkan berita kehamilan ini. Saya bimbang juga kalau heboh perkara ini (kehamilan) terlalu awal, diri sendiri yang malu jika berita itu tidak betul. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada peringkat awal kehamilan, jadi lebih baik saya rahsiakan terlebih dahulu.
Adakah anda rasa ini waktu yang tepat untuk anda hamil sekali lagi meskipun Zachary baru berusia 10 bulan?
Sebenarnya, saya dan Eric memang merancang untuk tambah anak segera kerana tahun ini usia saya sudah mencecah 37 tahun. Jika hamil pada usia yang terlalu lewat, banyak risiko yang harus ditanggung.
Apakah perasaan anda apabila dapat tahu hamil sekali lagi?
Ini kehamilan ketiga saya dan kedua bersama Eric. Saya memang cukup gembira, begitu juga dengan Eric. Rasa tidak percaya diberikan rezeki secepat ini dan saya bersyukur sangat kerana saya memang sukakan keluarga yang besar. Kalau boleh, kami inginkan anak perempuan pula tetapi semuanya terpulang kepada ketentuan Allah. Pada masa yang sama, saya dapat merasai pengalaman arwah ibu yang pernah hamil setiap tahun.
|
|