MCKK pasang kain rentang terbesar di dunia
SEBAHAGIAN daripada pelajar MCKK menunjukkan isyarat damai pada pelancaran kain rentang gergasi sempena Hari Keamanan peringkat kolej itu di padang MCKK, Kuala Kangsar, baru-baru ini. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
KUALA KANGSAR 18 Ogos - Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini melakar sejarah apabila berjaya menaikkan kain rentang terbesar di dunia sempena Sambutan Hari Keamanan peringkat kolej itu di sini. Lebih 600 pelajar MCKK menyaksikan sendiri kain banting berkenaan dinaikkan dengan menggunakan dua kren; sepanjang 48.5 meter dan 23.4 meter lebar berwarna ungu, indigo, biru, hijau, kuning, jingga dan merah. Sambutan tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad dan turut dihadiri oleh Pengetua MCKK, Anand Baharuddin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Ahmad Rizal Ahmad Khairuddin. Sebelum itu, kesemua pelajar dan tetamu menyanyikan lagu kebangsaan dan kolej berkenaan sebelum Wan Khairul Anuar menandatangani kain rentang tersebut. Wan Khairil Anuar ketika berucap dalam majlis itu berkata, keamanan boleh mendidik seseorang itu mendisiplinkan diri daripada melakukan perbuatan `kekerasan' yang boleh menghancurkan masa depan negara termasuk rakyatnya sendiri. "Dalam konteks sebagai seorang pelajar, keamanan boleh menjauhi mereka daripada permusuhan, rasa benci antara satu sama lain seterusnya memupuk perpaduan dan integrasi nasional. "Semangat ini perlu diberikan perhatian di peringkat bangku sekolah kerana bimbingan yang baik boleh melahirkan bakal golongan profesional termasuk pemimpin masyarakat," katanya. Sementara itu, Anand memberitahu, kain rentang terbesar itu pernah dibentangkan di atas padang sekolah tersebut sejak 2011, namun belum pernah dinaikkan lagi. Menurut beliau, kain rentang tersebut dihasilkan dengan kerjasama pelajar, guru serta masyarakat setempat dan akan diturunkan selepas dua jam dinaikkan. "Sambutan Hari Keamanan ini menampakkan hasil apabila bilangan 'kes berat' yang dilakukan oleh pelajar ternyata berkurangan dan ini menunjukkan sikap disiplin mereka ekoran kesedaran tentang peri pentingnya keamanan sewaktu menjalani persekolahan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140819/wu_04/MCKK-pasang-kain-rentang-terbesar-di-dunia#ixzz3BZ6uIb6w
© Utusan Melayu (M) Bhd
kau rasa? ironi x?
|