|
Harga minyak meningkat
Ekonomi
Oleh Reuters- 29 Dec 2014 (20 hours ago)
1 of 1
Harga minyak dunia meningkat dalam dagangan awal hari ini selepas merekodkan kejatuhan dalam dua sesi sebelumnya.
Peningkatan tersebut didorong oleh kebimbangan terhadap situasi yang semakin tegang di Libya sehingga menyebabkan kebakaran di salah sebuah terminal eksport utama minyak negara itu.
Kebakaran tersebut telah memusnahkan 800,000 tong minyak mintah iaitu output melebihi dua hari negara berkenaan.
"Libya dan semua masalah lain menyebabkan premium risiko. Minyak ketika ini berada pada paras di mana orang ramai gembira untuk membina satu premium risiko," kata Ketua Pegawai Pelaburan di Ayers Alliance, Sydney, Jonathan Barrat.
Harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$59.82 pada 0302 GMT atau 12 malam tadi waktu Malaysia selepas mencatatkan harga AS$60.40 sebelumnya.
Penganalisis Philip Futures, Singapura, Daniel Ang menjangkakan Brent akan berlegar pada harga sekitar AS$60 setong manakala minyak mentah Amerika Syarikat pada harga di antara AS$55 hingga AS$56 setong minggu ini.
Harga minyak juga menerima sokongan singkat daripada pelabur dan rancangan China serta Jepun yang mahu meningkatkan kecairan negara masing-masing.
The People’s Bank of China merancang untuk melonggarkan nisbah pinjaman:deposit kepada bank bermula tahun hadapan.
Ekonomi China dijangka berkembang sebanyak tujuh peratus pada 2015, lebih perlahan berbanding unjuran 7.3 peratus pada 2014, demikian menurut kumpulan pemikir kerajaan, Pusat Maklumat Negara hari ini.
Sabtu lalu, kerajaan Jepun pula telah meluluskan perbelanjaan rangsangan ekonomi bernilai AS$29 bilion untuk membantu wilayah-wilayah yang ketinggalan di negara itu dan isi-isi rumah dengan subsidi, baucer pembelian dan beberapa langkah lain yang diharapkan mampu meningkatkan ekonomi negara tersebut sebanyak 0.7 peratus.
Sumber:malaysiagazette
|
|