|
Medan terakhir uji persefahaman
- Kesebelasan utama Sime Darby ketika menentang Kedah dalam aksi persahabatan di Selayang, kelmarin.
KETUA jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria mahu pemainnya memanfaatkan tiga aksi persahabatan bermula semalam sebagai persiapan terakhir apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 31 Januari ini.
Katanya, tiga perlawanan persahabatan itu lebih kepada membentuk persefahaman dalam kalangan pemain sebelum memulakan aksi Liga Super nanti.
“Saya harap tiga aksi ini membantu meningkatkan kembali prestasi semua pemain termasuk pemain baharu.
“Saya juga ingin melihat prestasi dua pemain import baharu, Marko Perovic dan Ivan Dragicevic selepas mereka tidak diturunkan ketika aksi persahabatan di Bangkok tempoh hari.
"Jadi, ini peluang saya untuk melihat sejauh mana mereka mampu beraksi kerana aksi persahabatan ini adalah penilaian terakhir sebelum turun beraksi di Liga Super," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, pengendali berusia 52 tahun itu tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap pengalaman Perovic yang pernah beraksi dengan kelab gergasi Switzerland, FC Basel dalam kejohanan berprestij Eropah, Liga Juara-Juara pada musim 2008-2009 lalu.
Sime Darby akan bertemu Sabah malam esok sebelum bertemu sekali lagi kelab dari Borneo itu tiga hari kemudian.
Selepas itu, Sime Darby akan menutup aksi pra musim dengan menentang UiTM di Shah Alam 30 Januari depan.
Ismail berharap, semua pemain dapat mempamerkan corak permainan dan persefahaman diinginkan apabila bertemu tiga pasukan berkenaan.
Katanya, sebarang keputusan diharap memihak kepada Sime Darby, tetapi tumpuan lebih kepada membentuk keserasian dalam kalangan pemain selepas berehat panjang apabila saingan Liga M berakhir November lalu.
sumber:sinar harian
|
|