Oleh Izzah Abbasy
Dari mana datangnya suara jika tiada pita suara? Dari mana datangnya sebutan jika tiada tulang lidah yang lembut melontarnya?
Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda,
"Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, HENDAKLAH DIA BERKATA BAIK atau DIAM".
HR al-Bukhari 6475 dan Muslim 48.
Apa yang dimaksudkan "Lidah Puaka Bogel Diri"? Lidah Puaka adalah suatu perkataan kesat atau kasar yang diluahkan dari mulut. Seperti perkataan carutan 'BANGSAT' oleh Perdana Menteri kita baru-baru ini. Bogel Diri pula bermaksud mendedahkan hati dan perangai sebenar atau menyerlahkan diri anda bagaimana.
"YOUR WORDS is YOUR POWER". Jika anda bijak, berkata-katalah dengan baik kerana ada dua pilihan untuk lidah. BERKATA BAIK atau DIAM. Bagaimana?
BERKATA BAIK
- Berzikir
- Baca Al-Quran
- Selawat kepada junjungan Nabi
- Nasihat
- Tasbih
- Puji
- Peringatan
- Ajak kepada Makruf (perbuatan amalan baik)
- Tazkirah
- Kongsi idea
DIAM
Penulis suka untuk berkongsi dengan anda kata-kata daripada Ustaz Don Daniyal ;
"Bila ada orang BIADAP atau berkata kurang enak pada kita, JANGAN BALAS tetapi sebaliknya DIAM. Kerana dia (pemarah) sedang menyerlahkan dirinya yang sebenar. Kalau kita membalasnya, kita dan dia tiada bezanya."
Percayalah, setiap kata-kata atau bahasa kita hari ini, anak-anak akan meniru dan mengikutnya. Mencarut adalah suatu kata-kata kesat. Tetapi, itulah yang anak anda belajar pada hari ini. Lihat sahaja di rumah, mustahil anda tidak tahu mereka menyebut sesuatu yang anda sendiri tidak tahu mereka belajar dari mana. Mungkin juga mereka belajar dari rakan-rakan di sekolah atau di rancangan televisyen, pengaruh selebriti di laman sosial, pengaruh pemimpin di laman berita, internet dan bahan bacaan.
Ingatlah, bahasa mencerminkan apa yang ada dalam hati dan kesopanan diri. Awasi bahasa carutan yang menjadi budaya kini. Jangan biarkan lidah 'puaka' menguasai dan menjadi amalan kepada generasi anda kelak. Diam lebih terpuji ketika kata-kata tidak lagi membawa kebaikan. Fikirkan. - CARI Infonet
|