Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Kes wanita warga Malaysia melarikan diri mengikut suami ke Nepal bukan kali pertama kerana dalam tempoh tiga tahun ini, ada lima kes yang hampir sama membabitkan rakyat Malaysia yang mempunyai anak terkandas di negara itu.
Duta Besar Malaysia ke Nepal Fadli Adilah berkata, sepanjang tiga tahun lalu, pihaknya menerima sebanyak lima kes membabitkan wanita warga Malaysia tinggal di negara berkenaan kerana mengikut suami.
Menurutnya, empat kes sebelum ini dapat diselesaikan dengan usaha sama pegawai kedutaan melalui pengumpulan dana antara sesama sendiri dan bantuan rakan di Malaysia yang prihatin.
“Kebanyakan mereka hanya tinggal lebih masa antara setahun ke dua tahun dan jumlah denda tinggal lebih masa adalah antara RM8,000 hingga RM15,000.
“Mereka juga mendapat tiket penerbangan percuma untuk pulang dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS) di Kathmandu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.
Fadli berkata, bagaimanapun, dalam kes Nur Sri Rahayu Marimon, 24, ia lebih rumit kerana denda tinggi disebabkan tinggal tanpa visa di Nepal sejak empat tahun lalu.
“Malah, dia juga tidak mendaftar dan memaklumkan pihak kedutaan sebelum ini, selain Daerah Morang terletak lebih 500 kilometer di pedalaman Nepal, yang mana ia mengambil masa dua hari perjalanan darat.
“Kita berusaha mendapatkan pengurangan jumlah denda itu atas dasar kemanusiaan dan hubungan baik dua negara, di samping masih menghormati dan mematuhi undang-undang negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sering berhubung dengan Nur Sri Rahayu dan memantau keadaannya di Nepal dan berusaha membantunya supaya dapat dibawa pulang.
Khamis lalu, Harian Metro melaporkan penderitaan wanita itu yang kini terpaksa bekerja sebagai pemecah batu dan mencari kayu api untuk menyara kehidupannya bersama dua anak di Pathari 1 Morang, kira-kira 450 kilometer dari Kathmandu, Nepal.
Ibunya Jaliah Tamin, 52, memaklumkan, anak keenam daripada sembilan beradik itu terkandas di kampung suaminya di kawasan pedalaman berkenaan sejak empat tahun lalu.
Nur Sri Rahayu berkahwin dengan suaminya, lelaki warga Nepal yang bekerja di sebuah kilang di negara ini pada 2006 atas dasar cinta.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|