Ubah suai, tukar cat kereta curi PONTIAN - Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kereta di daerah ini menerusi Ops Lejang susulan penahanan empat individu di dua lokasi berasingan di sekitar Johor Bahru dan Pontian pada Selasa dan Rabu lalu. Ketua Polis Daerah, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, hasil risikan selama seminggu, suspek utama yang menjadi dalang curi kereta di daerah ini berjaya ditangkap. Kereta dicuri diubah suai suspek berjaya ditemui semula menerusi Ops Lejang. “Bertindak atas maklumat, suspek berusia 24 tahun diberkas sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, dibantu anggota D6 Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan pada jam 10.30 malam Rabu lalu. “Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penangkapan tiga lagi individu berusia 20 hingga 39 tahun pada keesokan harinya. "Ketiga-tiga suspek ditahan di lokasi berbeza di sekitar Pontian sekitar jam 4 pagi sehingga 12 tengah hari,” katanya. Menurutnya, penangkapan kesemua suspek membawa penemuan dua kereta jenis Corolla yang dicuri sekitar taman perumahan di daerah ini pada minggu lalu. “Polis percaya suspek mengopek dan mengubah cat pada badan kereta dan mengubah suai kenderaan dicuri supaya tidak dapat dikenal pasti pemilik. “Penahanan kesemua suspek berjaya menyelesaikan kes kecurian kereta yang berlaku sekitar taman perumahan di daerah ini,” katanya. Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 379A(1) dan ditahan reman selama lima hari bagi membantu siastan,” katanya.
|
ADVERTISEMENT