V Shem-Wee Kiong Tewas Di Switzerland Wee Kiong (kiri) dan V Shem kecewa selepas tunduk 19-21, 21-14, 17-21 kepada pasangan China, Cai Yun-Lu Kai, awal pagi semalam. BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal dalam usaha untuk meraih gelaran pertamanya tahun ini apabila tewas pada perlawanan akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Switzerland, awal pagi semalam. Dalam perlawanan yang berlangsung di St Jakobshalle, V Shem-Wee Kiong yang kini menghuni ranking ke-56 dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum akur kepada kehandalan pasangan China, Cai Yun-Lu Kai dalam perlawanan yang berlanjutan ke set penentuan. Pada set pertama, pasangan negara tewas 19-21 sebelum bangkit menyamakan kedudukan pada set kedua dengan 21-14. Bagaimanapun pada set penentuan, beregu negara gagal menyaingi semangat melawan tinggi pasangan pilihan ketiga kejohanan itu apabila tunduk 17-21 dalam perlawanan hampir satu jam. Menurut ketua jurulatih beregu negara, Jeremy Gan, walaupun anak buahnya itu gagal merangkul kejuaraan, namun persembahan mereka semakin menunjukkan peningkatan yang ketara. “Secara keseluruhan, mereka bermain sangat baik dan menunjukkan komitmen yang tinggi di gelanggang cuma pada saat-saat akhir fokus mereka sedikit terganggu. “Saya tetap berpuas hati dengan prestasi mereka lagipun ini adalah akhir pertama mereka sejak V Shem sembuh dari kecederaan lututnya. Apa pun, mereka telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan dan saya yakin mereka mampu menjadi lebih baik nanti. "Selepas ini, apa yang mereka perlu lakukan adalah memberi tumpuan dalam latihan mereka," katanya. sumber:sinar harian
|
ADVERTISEMENT