"Insiden itu dua minit tapi parut dan kenangan seperti sepanjang hayat di mana anak autisme saya kena maki pasal nak minum air," kata Penerbit dan komposer, Edry Abdul Halim. Edry yang juga trio Kru meluahkan perkara itu ketika diminta mengulas layanan kasar diberikan terhadap anak ketiganya iaitu Emery, 17, yang menghidap autisme ketika berada di sebuah restoran baru-baru ini. Kata Edry, dia membuat pendedahan insiden menimpa anak istimewanya itu untuk masyarakat membuat perubahan serta memberi pengajaran kepada orang lain. "Masyarakat kita juga kadang-kadang kurang peka kepada golongan istimewa ini. "Tujuan saya bukanlah nak memalukan kakitangan atau tularkan kedai itu. "Kerana RM12 dan dua minit itu, saya ada memori yang tak 'pleasant'. Untuk melihat seseorang kena maki macam halau anjing, bagi saya ia bukanlah layanan yang sesuai untuk golongan istimewa ini," katanya ketika ditemui pada majlis apresiasi media dan pengumuman istimewa Konsert GenKRU yang berlangsung di sebuah hotel di sini, petang semalam. Mengulas kejadian itu, Edry berkata, bayangkan ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini terpaksa minta maaf pada orang terlebih dahulu kerana bimbang anak istimewanya melakukan kesalahan bila di luar rumah. "Tapi berapa kali nak minta maaf kerana saya mahu anak istimewa saya hidup macam orang biasa pergi kedai dan minum air. "Saya bukannya nak marah tapi saya mohon kalau nampak golongan istimewa ini berilah mereka ruang sikit. "Ia berbeza di luar negara. Ketika saya dan isteri naik tram di Manchester, Emery pula buat perangai dan ada seorang pakcik datang dan marah pada saya supaya jangan berkasar pada anak kami itu," katanya.
|
ADVERTISEMENT