Seoul: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menyuarakan keyakinan perjanjian gencatan senjata di Gaza akan tercapai, tetapi mungkin selepas Presiden Joe Biden meninggalkan jawatan pada 20 Januari. Blinken, yang sebelum ini mencuba berkali-kali tetapi gagal tahun lalu untuk menjadi perantara dalam gencatan senjata antara Hamas dan Israel, berkata pentadbiran Biden 'akan bekerja setiap minit setiap hari' sehingga akhir tempoh perkhidmatannya untuk memastikan perjanjian tebusan berjaya dicapai. "Kami sangat ingin membawa perkara ini ke garisan penamat dalam dua minggu akan datang. "Sekiranya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu akan datang, saya yakin ia akan dicapai satu hari nanti, mudah-mudahan lebih cepat. "Jika berjaya, ia akan berdasarkan pelan yang diketengahkan oleh Presiden Biden dan disokong hampir seluruh dunia," kata Blinken kepada wartawan semasa lawatannya ke Seoul.
Presiden terpilih Donald Trump, yang akan mengambil alih jawatan pada 20 Januari, berjanji memberi sokongan lebih kuat kepada Israel dan memberi amaran kepada Hamas mengenai 'neraka yang perlu dibayar' jika ia tidak membebaskan tebusan yang ditahan dalam serangan pada 7 Oktober 2023. Seorang pegawai Hamas menyatakan pada Ahad kumpulan itu bersedia untuk membebaskan 34 tebusan dalam 'fasa pertama' perjanjian berpotensi dengan Israel, yang mengesahkan perbincangan tidak langsung sudah disambung semula di Qatar. Blinken menyatakan berlaku 'pembabitan yang lebih intensif' oleh Hamas untuk mencapai perjanjian, tetapi menekankan ia belum selesai sepenuhnya. "Kami memerlukan Hamas untuk membuat keputusan muktamad yang perlu untuk melengkapkan perjanjian. "... dan secara asasnya mengubah keadaan bagi tebusan, membawa mereka keluar, untuk penduduk di Gaza, membawa kelegaan kepada mereka, dan untuk wilayah secara keseluruhan, mewujudkan peluang untuk benar-benar maju ke arah yang lebih baik," kata Blinken. Blinken sudah melakukan 12 lawatan ke Timur Tengah sejak serangan besar-besaran pada 7 Oktober 2023 oleh Hamas ke atas Israel, yang bertindak balas dengan kempen ketenteraan tanpa henti di Gaza. Sumber : – Harian Metro |
ADVERTISEMENT