Anak kepada pelawak Shuib Sepahtu, Dzahira Thalita Zahra, 12, mengakui tidak kisah dipulaukan teman sekelas yang cemburu dengan populariti dikecapi, ini kerana impiannya ingin mengejar cita-cita menjadi penyanyi.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia mula perasan perubahan sikap sesetengah teman sekelas selepas menjadi perhatian ramai muncul pada acara busking di Bukit Bintang, baru-baru ini.
"Ada tumpang gembira untuk saya, ada juga cemburu. Saya anggap ini cabaran untuk saya.
"Saya pun tak tahu kenapa sesetengah mereka bersikap begitu, ada yang bercakap buruk di belakang, tapi bila berdepan dengan saya, mereka berpura-pura baik. Tapi, saya tahu mereka mengata saya.
"Ada yang 'pulau' saya, tapi tidak kisah. Saya hanya ingin jadi penyanyi," kata Thalita yang ditemui pada majlis sidang media Konsert By Ajai & Mega Friends di ibu negara, baru-baru ini.
Thalita bakal berkongsi pentas dengan penyanyi hebat seperti Dayang Nurfaizah, Hazama, Hafiz Suip, Aina Abdul dan Asmidar pada konsert yang bakal berlangsung pada 10 Mei depan di The Star Theater, Singapura.
Kata Thalita, dia sangat teruja menghiburkan penonton di Singapura kerana kali pertama menjejakkan kaki ke seberang tambak itu.
Bakal mendendangkan dua lagu, Thalita kini sedang mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Shafi bagi memantapkan lagi mutu nyanyiannya.
Mengulas apa yang membuatkannya tidak dapat meneruskan persembahan ketika persembahan di Bukit Bintang, Thalita berkata, dia merasa sebak atas pelbagai faktor.
"Saya sangat terharu apabila melihat ribuan orang hadir menyokong saya. Hati menjadi sayu bila tengok orang sanggup datang.
"Dalam masa sama, saya juga teringatkan arwah ibu, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, itu menambahkan kesedihan hingga tak mampu teruskan nyanyian," katanya.
Sumber : - Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|