Johor Bahru: "Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk tinggalkan isteri dan biarkannya sendirian dalam kesakitan, saya akan temaninya selagi diizinkan Allah SWT," kata Muhammad Saifudin Salleh. Muhammad Saifudin, 27, juga seperti suami lain, mempunyai tugas hakiki iaitu mencari rezeki buat keluarga. Bagaimanapun, Muhammad Saifudin kini mengambil cuti demi menemani, menjaga serta menguruskan isteri tercinta, Nurul Fatihah Noor Aslam, 25, yang menghidap barah tulang tahap empat. Nurul Fatihah kini berada di Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini, bagi menjalani kemoterapi dan barah dihidapi menyebabkan ada ketumbuhan yang membengkak pada bahagian tulang bawah mata kanannya. Bercerita lanjut, Muhammad Saifudin berkata, apa yang berlaku di luar jangkaan kerana isterinya sebelum ini sihat sehingga menunjukkan simptom iaitu kebas pada bahagian bawah mata dan tulang pipi pada Oktober 2024.
Muhammad Saifudin kemudiannya membawa Nurul Fatihah ke klinik namun dirujuk ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan lanjut. "Keputusan pemeriksaan awal negatif, tetapi kali kedua positif, sekali gus mengesahkan isteri menghidap barah. "Mulanya terkejut bila dapat tahu kerana dalam sejarah keluarga isteri, tiada yang menghidap barah namun kini, saya sudah reda. "Isteri pula agak kecewa pada mulanya. Kini, dia juga lebih banyak termenung serta tidur," katanya. Menurut Muhammad Saifudin, isterinya perlu menjalani tiga kitaran rawatan kemoterapi sebagai ikhtiar untuk merawat barah. Selain itu, Muhammad Saifudin berkata, Nurul Fatihah juga perlu menjalani pembedahan pada bahagian wajah kerana ketumbuhan yang ada sudah membengkak sehingga menutup mata kanan selain merebak ke sebahagian hidung dan mulut. Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam di 06082023643007 atas nama Nurul Fatihah Noor Aslam. "Doktor beritahu, kes isteri saya ini agak jarang berlaku kerana membabitkan bahagian mata dan dijangka perlu membuat pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). "Mengikut perancangan, doktor akan ambil kulit paha untuk ditampal pada wajah isteri dalam prosedur itu (pembedahan), namun pembedahan berkenaan hanya boleh dijalankan sebaik kemoterapi selesai. "Buat masa ini, isteri perlu jalani kemoterapi dulu. Memandangkan keadaannya masih lemah, saya suapkan isteri makan, minum dan bantu mandikannya," katanya. Meskipun ujian itu berat untuk diterima, Muhammad Saifuddin berkata, dia tetap berusaha untuk tabah diri kerana perlu memberi sokongan kepada isteri selain tidak mengabaikan anak hasil perkahwinan mereka, Nur Qaleesya Dania yang berumur setahun empat bulan. "Saya juga dapat semangat daripada anak kerana mengenangkan usianya yang masih kecil dan syukur emak bantu menjaganya," katanya. Muhammad Saifudin tetap menaruh harapan isterinya sembuh dan kembali menjalani kehidupan normal satu hari nanti. "Saya ada kongsi kisahnya di media sosial dan isteri gembira kerana ramai doakannya juga, selain ramai rakannya datang melawat. "Berkaitan soal kewangan, saya bergantung kepada wang simpanan. Saya juga sudah mohon bantuan, antaranya daripada pusat zakat dan kini menunggu kelulusan. "Saya juga risau tidak cukup wang memandangkan isteri kini perlu minum susu, jadi perlu sediakan bekalan itu (susu) buatnya," katanya. Sumber– Harian Metro |
Decaffeinated replied at 28-1-2025 03:06 PM
korang bersemoga lah untuk menyedapkan hati. Aku cuma boleh kata bersedialah, and buat apa yang patu ...
Decaffeinated replied at 28-1-2025 03:06 PM
korang bersemoga lah untuk menyedapkan hati. Aku cuma boleh kata bersedialah, and buat apa yang patu ...
ADVERTISEMENT