Zahnita Wilson mendedahkan dia pernah bertemu dengan pakar psikiatri akibat masalah kemurungan pada tahun 2019.
Zahnita atau Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, bagaimanapun membuat keputusan untuk tidak meneruskan rawatan selepas melihat keadaan pesakit lain jauh lebih teruk berbanding dirinya.
“Jujurnya saya pernah ke wad psikiatri di mana saya berada pada tahap terendah dalam hidup.
“Tapi bila saya sampai di wad itu saya tengok keliling ada ramai pesakit lain yang menunggu dan keadaan mereka jauh lebih teruk daripada saya.
“Jadi saya tak rasa saya patut berada di sana sebab saya tak seteruk mereka dan memilih untuk patah balik ke rumah,” katanya kepada mstar.
Zahnita berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa sidang media bersama NR Cosmetics di Bangi, Selangor pada petang Rabu.
Berkongsi pengalamannya itu, Zahnita berkata ketika itu dia berasa seperti hilang arah sehingga perlu berjumpa dengan pakar psikiatri.
Namun selepas pulang ke rumah dia memilih mencari ketenangan dengan mendekatkan diri pada Allah SWT.
“Mungkin kerana saya hilang arah waktu itu.
“Saya mencari ketenangan dengan membaca al-Quran dan berdoa pada Allah,” ujarnya.
Menurut Zahnita, suaminya iaitu Abdul Zackery adalah individu yang membawanya ke wad psikiatri berkenaan bagi membantu model itu kembali pulih daripada kemurungan.
“Dia (Abdul Zackery) ialah orang yang bawa saya ke wad psikiatri berkenaan.
“Mungkin ketika itu dia nampak saya memang berada di tahap terendah seperti tak tentu arah.
“Jadi dia cuba untuk cari orang yang boleh bantu saya mungkin,” jelasnya.
Untuk rekod, Zahnita mendirikan rumah tangga dengan Abdul Zackery pada 2005.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.
Pada 3 Disember 2024, Zahnita nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang.
Dalam perkembangan lain, Zahnita dilantik menjadi duta bagi kempen raya 2025 untuk produk NR Cosmetics.
Ini kali pertama NR Cosmetics melantik duta bagi produk mereka selepas lapan tahun beroperasi.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|