KUALA LUMPUR - DAP hari ini mempersoalkan jumlah perbelanjaan yang dibayar untuk rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke luar negara yang dikatakan terlalu tinggi. Menurut Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Perdana Menteri telah membelanjakan hampir RM44,071 juta dalam tempoh lima tahun beliau menjadi Perdana Menteri iaitu dari tahun 2008 sehingga Mei 2013. Jumlah itu katanya, bersamaan dengan perbelanjaan RM 8,814,200 untuk tempoh setahun dan RM 734,516.67 untuk tempoh sebulan. "Perbelanjaan ini sangat tinggi, kita mahukan penjelasan daripada Perdana Menteri. "Daripada hasil rombongan ini, apakah hasilnya kepada negara," katanya. Tambah Kor Ming lagi, ketika mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjawat jawatan Perdana Menteri beliau hanya membelanjakan RM 30 juta untuk perbelanjaan ke luar negara. "Kenapa perdana menteri sekarang belanja terlalu mewah. "Kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib menunaikan janji beliau untuk menjalankan dasar transformasi yang beliau uar-uarkan selama ini, sepatutnya Najib berhemah ketika belanja," katanya. Sehubungan itu, DAP berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat menjelaskan isu ini agar rakyat tidak mempersoalkan kredibiliti perdana menteri.
|
ADVERTISEMENT