CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Kenderaan Lihat artikel

Dua Tayar Michelin Untuk Asean

21-8-2013 03:38 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 13816| Komen: 0





MICHELIN bukannya satu jenama asing di dalam dunia motosikal. Jenama Perancis itu sudah menapak dalam dunia perlumbaan MotoGP selama 36 tahun. Tahun 2008 menyaksikan pengunduran Michelin dari MotoGP oleh kerana syarikat itu melihat tiada persaingan sihat antara pengeluar-pengeluar tayar lain.

Kekosongan itu kemudiannya diambil alih oleh Bridgestone. Sepanjang penglibatan Michelin di dalam arena dunia perlumbaan, syarikat itu berjaya membangunkan teknologi tayar termaju seperti Radial, Silika dan Dual-Rubber dan kompaun getah sintetik. Produk Michelin sedikit sebanyak membantu pelumba-pelumba seperti Mick Doohan, Kevin Schwantz dan Valentino Rossi menaiki podium.

Semenjak dari itu, jenama tayar dari Perancis tersebut mula memberikan fokus kepada beberapa perlumbaan roda dua yang lain selain MotoGP. Pada masa yang sama meningkatkan kualiti pengeluaran tayar untuk kegunaan di jalan raya.

Berbekalkan pengalaman dalam dunia perlumbaan juga Michelin mengorak langkah mengimplementasi teknologi yang dimiliki ke dalam produk tayar bagi kegunaan industri motosikal. Terbaru, Michelin membangunkan dua rangkaian produk khas untuk pasaran Asean iaitu Pilot Street Radial dan Pilot Street.

Pemotoran bersama enam lagi media Malaysia dijemput untuk menghadiri majlis pelancaran dua produk baru itu dan satu sesi menguji tayar di Bangkok, Thailand. Wakil media Asean lain termasuklah dari Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Saya sempat mengajukan pertanyaan kepada pihak pengurusan Michelin Asia Pasifik mengapa mengambil masa agak lama untuk menawarkan produk tayar motosikal di Malaysia berbanding kereta.

Menurut Pengarah Komersial Dua Roda Michelin Asia Pasifik dan India, Laurent Lemonnier Michelin  percaya Asia Tenggara berpotensi muncul sebagai pasaran paling cepat berkembang di dunia tidak lama lagi.

Pendapat itu disandarkan pada prestasi pertumbuhan pantas dalam segmen underbone dan 250cc di Asean. Faktor itu membuatkan Michelin menghasilkan tayar untuk pasaran Asean.

“Kami melihat pertumbuhan yang sama berlaku di Malaysia di mana motosikal menjadi sebahagian daripada gaya hidup bukan lagi dilihat sebagai pengangkutan semata-mata.

“Sebagai contoh segmen 250cc semakin berkembang dengan kehadiran Kawasaki Ninja 250 dan Honda CBR250R, kami melihat kepada keperluan tayar prestasi tinggi di Asean,” katanya.

Dua model tersebut mengambil masa selama dua tahun untuk dibangunkan di Perancis. Kedua jenis tayar ini menggunakan teknologi polister HMLS (High Modulus Low Shringkage) sehingga berjaya menghasilkan kemampuan daya cengkaman maksimum, ketahanan tayar lebih lama dan kestabilan ketika melalui jalan tidak rata mahupun membrek.

Dengan memiliki 19 litar yang berbeza untuk menguji dan memastikan setiap produk yang bakal dipasarkan memenuhi standard antarabangsa, kedua-dua tayar itu juga melalui proses sama.

Justeru itu,  setiap produk Michelin yang dipasarkan perlu memenuhi standard yang ditetapkan Michelin sendiri iaitu :keselamatan, tahan lama dan jimat minyak.

Michelin Pilot Street Radial

Untuk memenuhi segmen 250cc, Michelin memperkenalkan tayar barunya, Pilot Street Radial.





Berdasarkan hasil ujian yang dijalankan oleh MAUA Institute Of Technology, Michelin Pilot Street Radial memiliki daya tahan 30 peratus lebih tinggi dari produk pesaing sekelasnya. Hasil ujian di DEKRA Test Centre pada
September 2011 pula membuktikan Michelin Pilot Street Radial memiliki cengkaman basah yang terbaik dalam kebanyakan tayar yang pernah diuji.

Cengkaman ini adalah hasil inovasi Michelin yang menggabungkan getah dengan komponen silika. Penggunaan silika dalam tayar sebenarnya menguatkan keupayaan cengkaman tayar sewaktu membrek di atas jalan basah.

Dalam bidang penghasilan, tayar Michelin adalah pengeluar yang pertama menggunakan bahan silika sekitar pertengahan 90-an. Bukan sahaja memberikan penjimatan petrol tetapi juga memberikan berat tayar yang lebih ringan berbanding pesaingnya.

Berpeluang melihat sendiri demonstrasi yang dijalankan oleh Dean Baudart. Ia dibuktikan menerusi demonstrasi di litar yang telah dibasahkan. Dalam ujian berkenaan, penunggang uji Michelin, Dean menggunakan Honda CBR 250 R ABS yang menggunakan tayar Pilot Street Radial. Jentera tersebut hanya menggunakan brek hadapan sewaktu ujian membrek di atas litar basah.

Menerusi ujian itu Michelin ingin membuktikan dengan pembangunan baru dan aplikasi material Silika dapat memberikan prestasi lebih baik dalam situasi membrek ketika jalan basah.

Dalam ujian pertama, Dean memecut konsisten pada kelajuan 50 kilometer sejam pada jalan lurus dengan jarak 100 meter dan membrek di jalan yang telah dibasahkan. Hasilnya cukup mengejutkan di mana motor berhenti dengan jarak 10 meter dari jalan yang telah dibasahi. Sedangkan awal jangkaan ia akan berhenti kira-kira 20 meter dari awal jalan yang dibasahi.

Bahkan ketika proses membrek itu, tidak berlakunya proses meluncur yang mengakibatkan jentera hilang kawalan. Nyata Pilot Street Radial mampu memberikan cengkaman yang baik ketika jalan basah.

Menurut Pereka Tayar Pilot Street Radial, Perancis, Laurence Janin, penggunaan bunga tayar yang disemak semula berbanding generasi sebelumnya telah meningkatkan prestasi tayar baru ini.

Celah pada gari salur tengah kini dibuat lebih panjang dengan ukuran 3 milimeter (mm) sementara celah pada bahagian hujung di bahu tayar lebih lebar dengan ukuran 6 mm. Hal ini membuatkan air terbuang dengan cepat yang  memberikan daya cengkaman menjadi lebih kuat.

Ketika diajukan pendapat kepada rakan media lain, terdapat pro dan kontra yang diberikan ketika mengulas mengenai model tayar baharu ini.

“Tiada perbezaan yang ketara di antara model Michelin ini berbanding dengan tayar pesaing lain seperti IRC. Kekuatan model Michelin mungkin pada permukaan jalan raya basah tetapi masih berada pada tahap yang sama ketika permukaan kering dan panas.

“Penggunaan Silika dalam model ini jelas membantu pengguna motosikal berkuasa sederhana untuk mencapai tahap tunggangan maksimum ketika hari hujan dan permukaan berair,” ulas dua rakan wartawan dari Malaysia sebaik menghabiskan dua sesi ujian bagi motosikal berkuasa 250cc.

Michelin Pilot Street

Ketika berbual bersama pihak pengurusan Michelin Asia Pasifik, mereka sedikit terperanjat apabila diberitahu bahawa penunggang di Malaysia lebih ke arah menggunakan sport rim di kawasan bandar berbanding rim standard seperti negara Asean yang lain.


Dan menerusi pengenalan  model Pilot Street ia dapat memenuhi kehendak di dalam segmen underbone dan kegunaan harian 100 peratus di atas jalan raya biasa. Sasaran pengguna pula meliputi golongan lelaki muda urban yang meminati sukan bermotor.

Tentunya kumpulan itu mengharapkan tayar yang memberi pengendalian terbaik, kestabilan dan tunggangan tepat, jangka hayat lebih lama, selain cengkaman di atas jalan basah atau kering.

Inilah yang ditawarkan oleh Pilot Street. Bahkan ia juga dikatakan memberikan 30 peratus tambahan jangka hayat berbanding Pirelli Mandrake Due.

Saya bersama media negara Asean lain diberi peluang untuk menguji kedua-dua model tayar tersebut di Litar Nakonchaisri, Bangkok. Litar itu adalah sepanjang dua kilometer.

Sebagai penunggang amatur, saya menggunakan jentera 125cc bagi tunggangan empat lap. Hasilnya, saya mendapati motosikal mudah dikendalikan ketika memasuki atau keluar dari kawasan selekoh.

Cengkaman tayar Michelin Pilot Street pada litar itu agak ‘melekat’ walaupun ketika keadaan basah mahupun kering.

Dengan keadaan suhu sekitar 33 darjah celcius tanpa tiupan angin, saya dapati penggunaan material silika menyumbang kepada hasil cengkaman yang maksimum di atas litar. Prestasi tayar yang diberikan cukup memuaskan.

Semoga kehadiran jenis tayar terbaru ini dapat memberikan warna tersendiri dalam perkembangan dunia automotif roda dua. Dan pengenalan model berkenaan adalah permulaan bagi Michelin di Asean. Untuk tahun ini sahaja Michelin merancang untuk memperkenalkan enam buah model tayar seluruh dunia.





Bagus

Marah

Terkejut

Sedih
2

Lawak

Bosan

Friends Rank (2 people)

  • Lawak

    Anonymity

  • Lawak

    Anonymity


ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-11-2024 01:23 AM GMT+8 , Processed in 0.030508 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top