Keadaan cuaca seluruh dunia yang tidak menentu ketika ini telah menjejaskan banyak acara sukan dunia. Antaranya sesi ujian masa hari ketiga Formula One di GP Catalunya, Barcelona. Barcelona, Sepanyol jarang-jarang dilanda salji biarpun pada musim sejuk. Namun tidak kali ini apabila keadaan salji yang makin tebal telah menjejaskan sesi ujian hari ketiga pada 28 Februari. Hanya 5 pemandu berjaya menguji trek licin dengan pemandu McLaren, Fernando Alonso berjaya merakam masa pada sesi berkenaan.
Catatan masa 'terpantas' 2 minit dan 18.545 saat dilakukan Alonso semalam sebenarnya lambat lebih seminit berbanding catatan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel yang dilakukan kelmarin. Pada sesi ujian itu, Ferrari dan Mercedes tidak menguji jentera masing-masing bagi mengelak sebarang risiko. Selain Alonso, yang menamatkan 11 pusingan, pelumba lain yang sempat tampil ialah Daniel Ricciardo (Red Bul), Brendon Hartley (Toro Rosso), Marcus Ericsson (Sauber) dan Robert Kubica (Williams). Sesi ujian itu juga tertangguh selama tiga jam susulan salji yang lebat disusuli hujan memenuhi kawasan trek berkenaan. - CARI |
ADVERTISEMENT