Keletah anak-anak adalah satu kegembiraan kepada ibu bapa. Apatah lagi tatkala melihat ragam mereka terutamanya yang baru pandai bercakap dan dapat kaki, semuanya terasa mahu dirakam dan dikongsikan di media sosial. Sementelah melihatkan insta famous cilik, Fattah Anas yang semakin murah rezeki hingga mendapat peluang muncul di kaca televisyen dan radio, ramailah pula yang merakamkan video anak sendiri. Namun begitu, ada juga video yang menjengkelkan netizen kerana bahasa yang digunakan oleh si cilik tidak sesuai ketika bercakap dengan bapanya sendiri. Mungkin ia kelihatan cute kepada ibu bapanya namun bagi netizen ia seakan barah yang akan merebak hingga mempengaruhi masa depan budak itu sendiri.
Ramai yang tidak bersetuju dengan bahasa yang digunakan oleh kanak-kanak tersebut. Malahan video tersebut jelas menunjukkan kebiadaban bercakap dengan bapanya sendiri. Bagi netizen, jika ketika kecil pun kanak-kanak itu sudah boleh bercakap biadab dengan bapanya sendiri, bagaimana pula ketika dia menjelang remaja atau dewasa? Jadi, ketika itu hendak salahkan siapa, remaja tersebut yang sepatutnya sudah boleh bertindak sendiri atau pun ibu bapanya yang sudah tua? Bagaimanapun, ada juga yang memberi pendapat bahawa banyak faktor yang menyebabkan hal ini terjadi, antaranya ialah pengaruh gajet itu sendiri. Maklumlah, apabila ibu bapa mahukan anak mereka diam, lalu diberinya telefon pintar atau tablet yang memungkinkan mereka bermain permainan video atau saluran yang tidak sesuai dengan tahap pemikiran mereka. Maka, ramai yang berpendapat bahawa remaja sekarang tidak boleh ditegur kerana telah dimanjakan sejak kecil. Ia membuatkan kanak-kanak ini juga turut biadab dengan orang luar hatta di tempat-tempat terbuka. "Aku kalau cakap begini dengan ayah, mau kena tali pinggang sampai kulit terkoyak." Betul juga, kanak-kanak zaman dahulu lebih beradab kerana sudah dipasak dengan apa yang boleh dan tidak boleh sedari kecil. Sangat jauh berbeza dengan kanak-kanak siber ini. Akan tetapi, ada juga yang merasakan bahasa yang digunakan oleh pengadu ini tidak sesuai kerana menggunakan perkataan mencarut. Bagaimanapun, masih ada peluang untuk membaiki kanak-kanak dibawah lima tahun ini kerana mereka masih menjadikan ibu bapa sebagai ikon terbaik. Jadi, kepada ibu bapa di luar sana, bercakap yang baik-baik dengan anak serta selalu menimba ilmu keibubapaan supaya dapat mendidik anak-anak menjadi khalifah yang terbaik kepada umat sejagat. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|