Kejadian panjat, rempuh dan pengsan peminat bola sepak ketika membeli tiket perlawanan akhir bola sepak bukanlah perkara asing untuk diperkatakan. Setiap kali penjualan tiket diumumkan, maka berpusu-pusulah penyokong kedua-dua pasukan mahu mendapatkan tiket bagi menyokong negeri mereka. Bagaimanapun insiden buruk ini mengakibatkan lebih ramai tercedera hingga ke hospital. Justeru itu, seorang netizen yang juga peminat muzik K-Pop telah membangkitkan kemarahan peminat bola apabila membandingkan disiplin peminat bola dengan peminat K-Pop ketika membeli tiket. Ini kerana tiada rusuhan ketika penjualan tiket K-Pop dan jelas menyatakan perbezaan pemikiran lelaki (peminat bola) dan perempuan (peminat K-Pop) itu sendiri. "Hello, berapa peratus je orang Malaysia tengok konsert Kpop ni, tapi final bola ni berjuta ya tengok." Bagi peminat fanatik bola sepak, mereka marah dengan tulisan tersebut kerana adalah tidak adil menyamakan antara perlawanan bola akhir dengan konsert K-pop. Ini kerana peminat muzik Korea pastinya tidak seramai peminat bola sepak yang diperuntukkan 80,000 tempat duduk pun, tetapi masih tidak mencukupi. Lagi pula menurut mereka, harga tiket konsert boleh mencapai ratusan ringgit berbanding harga tiket bola sepak yang bawah RM50. Ini memungkinkan ramai yang memanipulasi pembelian tiket tersebut untuk dipasarkan ke jualan gelap. Namun, bagi peminat muzik Kpop itu sendiri, mereka tidak kisah dilabelkan fanatik tetapi tidaklah sampai membahayakan nyawa sendiri dengan merusuh pagar dan sebagainya. Lagi pula ramai peminat Kpop adalah golongan wanita yang memungkinkan mereka lebih berdisiplin daripada lelaki yang berebut ketika mahu membeli tiket. Bagaimanapun menurut Ika, Tweetnya telah disalah tafsir oleh ramai netizen. Apa yang mahu disampaikan ialah perbezaan pengurusan penjualan tiket bola sepak sangat ketinggalan berbanding penjualan tiket konsert yang menggunakan kaedah dalam talian yang lebih memudahkan. Selain itu, wujudnya ulat tiket yang menjual dengan harga berganda juga membuatkan insiden ini semakin buruk. Malahan dia juga mengaku yang peminat Kpop juga mengalami masalah sama dengan ulat tiket yang dijual oleh Mafia China yang telah memborong banyak tiket kemudiannya menjual balik kepada peminat Malaysia dengan harga dua kali ganda iaitu dari RM700 menjadi RM1,400. "Kpop tak salah, bola pun tak salah. Yang salah ialah bila terlalu taksub." Ia disokong oleh peminat bola yang rasional kerana di kaunter cuma menjual 2,000 keping tiket sahaja dan ia habis dalam masa kurang sejam. Manakala 28,000 tiket lagi ghaib entah ke mana. Ini menyebabkan peminat bukan geng kroni terpaksa berebut untuk mendapatkan tiket mereka hingga mengalami kecederaan. Demi mengelakkan insiden sama berulang kembali, ramai yang menyarankan supaya pihak pengurusan membuat penjualan menerusi dalam talian, perketatkan kawalan, barricades dan lain-lain lagi. Sesuai dengan peredaran zaman, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu lah membuat pembaharuan dalam kaedah penjualan tiket. Semoga tidak ada lagi insiden yang memalukan ini. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|