Suratkhabar The Arizona Republic melaporkan bahawa seekor burung merpati yang menjadi viral dalam media sosial kerana dijumpai dengan rompi (vest) berhiaskan manik-manik yang bergemerlapan telah dipertemukan semula dengan pemiliknya.
Marlette Fernando dan suaminya, pemilik burung merpati itu telah dihubungi oleh pusat penjagaan haiwan, Fallen Feathers Resque dan mereka telah pun menuntut burung merpati yang dinamakan Olive itu.
Burung itu dihantar ke pusat perlindungan itu di Peoria lebih kurang seminggu lalu. Menurut pengarahnya, Jody Kieran, dia serta merta menyedari burung itu haiwan kesayangan seseorang apabila melihat vest istimewa yang dipakainya bergemerlapan dengan hiasan manik dan kristal. Pusat itu kemudiannya mengiklankan penemuan burung tersebut di Facebook.
Menurut pemiliknya Marlette, seorang kawannya yang telah melihat iklan itu telah menghubunginya. Olive dikatakan hilang dari rumah pada 7 November lepas. Pusat tersebut dalam iklannya memaklumkan bahawa burung itu akan diserahkan kepada pemilik baru jika tidak ada sesiapa yang menuntutnya dalam 10 hari.
Pengarah Fallen Feathers Resque memberitahu, beliau terkejut ketika mula-mula menerima panggilan mengenai burung merpati tersebut kerana dalam 20 tahun sepanjang kerjayanya, beliau tidak pernah melihat burung merpati dipakaikan sedemekian. ‘Seorang wanita nampak burung itu di perkarangan rumahnya dan menelefon pusat kami, kami terkejut dan bergurau mengatakan burung itu mirip penghibur terkenal Liberace yang popular dengan rompi bergemerlapan’ katanya lagi.
Nampaknya bukan anjing dan kucing sahaja yang diberikan pakaian, burung pun tidak terlepas dari trend ini. - CARI |
ADVERTISEMENT