Sekolah Kebangsaan Buayan atau nama ringkasnya SK Buayan, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di daerah Penampang. Pada awal penubuhan sekolah terpencil ini, bangunan hanya berdindingkan bambu dan beratapkan zink serta berlantaikan simen. Pelajarnya pula berasal dari beberapa buah kampung di sekitarnya. Sekolah ini mempunyai kurang daripada 100 murid dan kehadiran di sekolah sering menjadi masalah berikutan jarak tempat tinggal pelajar yang agak jauh dan tidak ada jalan raya berturap menghubungkannya, selain hanya boleh dilalui pacuan empat roda. Kebanyakan
pelajar dikatakan perlu berjalan kaki hampir 10 kilometer (km) ke sekolah setiap hari. Baru-baru ini, sekolah ini menjadi
tular di media berikutan usaha gigih beberapa gurunya untuk melawat
rumah-rumah pelajar bagi memberi galakan kepada mereka dalam meningkatkan kadar
kehadiran. Kerana tidak ada jalan raya yang
memadai, para guru terpaksa berjalan kaki. Menurut Guru Besarnya, Matius Kusop, salah
seorang pelajar tinggal kira-kira 12 km dan tiga guru mengambil
masa berjalan kaki tiga jam untuk melawat rumahnya di Kampung Pongobonan untuk
memujuknya supaya hadir ke sekolah. Pelajar Tahun Empat itu dikatakan
sudah tidak hadir selama tiga minggu. Alasan yang diberikan oleh murid itu adalah kakinya sakit untuk berjalan. Namun, ayahnya memberitahu kaki murid
itu kini sudah sembuh. Bagaimanapun, usaha guru-guru
tersebut gagal kerana murid itu masih enggan meneruskan persekolahannya.
Menurut gurunya, ini adalah sesuatu yang menyedihkan memandangkan murid itu
mempunyai tahap akademik yang baik dan abangnya juga berhenti sekolah atas alasan yang sama. Menurut Guru besar lagi, sekolah yang berada dalam kategori tiga itu kini menyediakan asrama dan warden untuk pelajar yang tinggal jauh. Mereka bagaimanapun tidak berputus asa dan akan kembali untuk meneruskan usaha memujuk sekali lagi. SK Buayan mempunyai prestasi yang cemerlang dalam akademik. Sekolah itu mencapai keputusan 100 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiga tahun berturut-turut. Syabas diucapkan kepada usaha dan kegigihan guru-guru di sekolah ini. - CARI |
ADVERTISEMENT