Seperti yang berlaku di beberapa buah negara Asia, genre KPop kini turut menjadi kegilaan di Malaysia terutamanya di kalangan anak muda. Tidak hairanlah ramai yang boleh menyanyi lagu-lagu dalam bahasa itu dengan fasih sekali. Malahan , ada juga yang turut mempelajari Bahasa Korea hanya melalui lagu-lagu dan dramanya.
Impak KPop boleh dilihat lebih mendalam lagi di kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di Korea Selatan. Baru-baru ini, seorang pelajar kita di sana memukau ramai dalam satu persembahan busking kerana kefasihannya menguasai bahasa tersebut. Dalam satu video yang kini tular di Twitter, seorang pelajar di sana bernama @venompenguin berkongsi persembahan rakannya mendendangkan sebuah lagu yang memukau penonton, termasuk rakyat Korea Selatan sendiri. Menurut maklumat, dipercayai persembahan itu dibuat di sebuah jalan dinamakan Sinchon Street, dan gadis itu mendendangkan lagu berjudul Some yang dipopularkan oleh kumpulan Bolbbalgan4. Katanya ramai rakyat Korea terkejut dengan kepetahan rakannya berbahasa Korea dengan fasih. Susulan tularnya video tersebut, ramai netizen yang memuji keyakinan gadis itu membuat persembahan di tempat awam. "Keyakinan yang memukau, saya ingat Shila Amzah tadi," kata seorang netizen. Seorang lagi berkata lagu ini memang susah dibawakan dan pelajar itu berjaya menyampaikannya dengan baik. Bagaimanapun, ada juga netizen yang memberikan komen jujur mengatakan suara gadis tersebut biasa-biasa sahaja dan persembahannya agak tersekat-sekat. Apa yang pasti, keberanian gadis itu untuk membuat persembahan di tempat awam dalam bahasa asing sememangnya layak mendapat pujian. Syabas! -CARI
|
ADVERTISEMENT