Seorang lelaki dan wanita ditahan berikutan penyebaran gambar mayat mendiang bintang bola sepak, Emiliano Sala di laman sosial. Sebelum ini, Mirror melaporkan rumah mayat di mana mayat bintang Argentina itu berada dipecah masuk individu tidak bertanggungjawab sebelum menyebarkannya di laman Twitter hanya dua hari selepas bapa Sala, Horacio, 58, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumah keluarga di Progreso, Santa Fe. Polis Dorset kemudian melancarkan siasatan dan wanita berusia 48 tahun dari Corsham ditahan di Wiltshire kerana disyaki memiliki akses tanpa izin kepada bahan komputer dan bukti komunikasi berniat jahat.
Menurut laporan, wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan. Sementara itu, lelaki berusia 62 tahun dari Calne juga ditahan atas sebab sama dan dibebaskan tanpa dilepaskan. Hasil siasatan bagaimanapun tidak menemui bukti menunjukkan rumah mayat Holly Tree Lodge di Bournemouth, Dorset dipecah masuk. Malah, polis juga mendapati tiada staf terbabit dalam salah laku berkenaan. Penyerang berusia 28 tahun itu menaiki pesawat persendirian dari kelab Perancis untuk berpindah ke pasukan barunya di Liga Perdana Inggeris, Cardiff City pada 21 Januari lalu sebelum hilang dari radar. Mayatnya ditemui pada 6 Februari selepas pasukan mencari dan menyelamat menemui bangkai pesawat ringan berkenaan berhampiran pulau Guernsey. Sementara itu, mayat juruterbang David Ibbotson, 59, masih hilang dan pakar kemalangan udara masih menyiasat mengenai insiden terbabit. Jurucakap polis Wiltshire, Gemma Vinton menggesa orang ramai supaya berhenti menyebarkan gambar mayat mendiang dan menghormati perasaan keluarga Sala. - CARI
|
ADVERTISEMENT