Dua beranak menempah padah apabila dipenjara lima hari selepas berlakon terbabit dalam kemalangan jalan raya. Lapor South China Morning Post, lelaki dan ibunya itu bertindak demikian untuk meraih pengikut di laman sosial.
Polis Zhengzhou di wilayah Henan berkata, mereka menerima aduan pada hujung minggu lalu mengenai selebriti media sosial yang merancang adegan kemalangan jalan raya hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Ketika kejadian, lelaki yang juga blogger dikenali sebagai Chao, 26, itu memandu kereta mewah Lamborghini berwarna biru di satu persimpangan di daerah Jinshui, kira-kira jam 6 petang pada Ahad. Dia kemudian berpura-pura melanggar sebuah skuter elektrik yang ditunggang ibunya, dikenali sebagai Cao, 55. Berikutan 'perlanggaran' itu, Cao berguling-guling di atas jalan raya hingga mengganggu pengguna jalan raya, manakala adegan itu dirakam rakannya, Liu yang ditugaskan untuk menarik lebih ramai pengikut di Weibo. Menurut polis, insiden itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di persimpangan berkenaan selama 40 minit. Polis berkata, ketiga-tiga individu itu ditahan dan didenda 200 yuan (RM118) setiap seorang kerana 'mengganggu ketenteraman awam'. - CARI
|
ADVERTISEMENT